Sekiranya ada perpindahan wang dari ”Tunai” ke ”Bank“ atau sebaliknya, hanya perlu merekodkan di baristegak ”Tunai” dan ”Bank” sahaja. Sebagai contohnya, jika duit dikeluarkan dari bank dalam bentuk tunai, catatkan jumlah duit masuk di ruangtegak Tunai dan duit keluar di ruangtegak Bank. Jumlah barislintang masih ”0”.
Jika pembayaran dibuat untuk kad kredit, letakkan jumlah pembayaran tersebut diruang tegak kad sebagai duit masuk dan duit keluar dengan jumlah yang sama di ruang tegak tunai atau bank.
Sekiranya perpindahan wang adalah untuk kegunaan peribadi peniaga, ini perlu direkodkan sebagai duit keluar di ruang cara pembayaran dan duit masuk di ruang tegak saham.
Saya fikir, buku Tunai dan Bank ini agak mudah untuk diselenggarakan dan sudah cukup untuk diberikan kepada pengamal akaun untuk melakukan tugasan terakhir setiap bulan atau tahun, iaitu menghasilkan penyata Untung Rugi dan Kunci Kira-Kira.
Wednesday, September 24, 2008
Pindahan Wang Antara Buku Pembayaran
Wednesday, September 17, 2008
Pembelian Guna Kad Kredit
Satu lagi jenis pembayaran yang boleh direkodkan adalah pembayaran secara kad kredit. Sesuai dengan keadaan sekarang dimana kad kredit digunakan secara meluas bagi menggantikan tunai. Mungkin penggunaan kad kredit lebih selamat dan membantu dari segi pengurusan pembayaran yang lebih teratur.
Untuk tujuan rekod, kita boleh tambah satu lagi ruang di ruang pembayaran jenis Buku Tanggungan untuk pembayaran menggunakan kad.
Ruangtegak saham adalah jenis Buku Tanggungan kerana perniagaan berhutang dengan bank untuk pembayaran yang dibuat.
Cara transaksi direkodkan adalah sama dengan Buku Tunai dan Bank, duit keluar dicatatkan sebagai negative dan duit masuk dicatatkan sebagai positif.
Wednesday, September 10, 2008
Buku Akaun Lengkap Peniaga Kecilan
Buku Tunai dan Bank perniagaan boleh terus dikembangkan untuk merekodkan semua jenis transaksi perniagaan. Ini dilakukan dengan menambah ruang tegak yang sesuai di dalam buku tersebut. Selain <ruangtegak saham> kita boleh tambah ruangtegak buku <Aset, Tanggungan, Jualan atau Kos Jualan> yang lain. Sebagai contohnya seperti dibawah, saya telah letakkan ruangtegak seperti berikut:
Buku Tanggungan – Ruangtegak Saham dan Ruangtegak Pinjaman
Buku Aset – Ruangtegak Aset Tetap
Buku Jualan – Ruangtegak Jualan
Buku Perbelanjaan/Kos Jualan – Ruangtegak Stok dan Ruangtegak Lain-lain
Untuk merekodkan transaksi, hanya perlu menempatkan jumlah duit keluar (negative) atau duit masuk (positif) diruangtegak Tunai atau Bank, dan jumlah yang berlawanan diruangtegak Aset, Tanggungan, Jualan atau Kos Jualan yang berkaitan. Pastikan jumlah ruanglintang menjadi ”0” bila dicampurkan.
Rekod sebegini sudah cukup untuk menjadi buku akaun lengkap bagi satu perniagaan kecilan yang sebahagian besar transaksi adalah berbentuk tunai.
Wednesday, September 3, 2008
Buku Akaun Hari Pertama
Buku Tunai dan Bank, boleh dikembangkan untuk merekodkan pelbagai transaksi perniagaan. Setiap perniagaan sudah semestinya dimulakan dengan buku akaun pertama. Transaksi pertama yang hendak direkodkan adalah pelaburan peniaga dalam perniagaan. Ini kerana perniagaan tidak dapat membuat apa-apa transaksi tanpa ada modal.
Sekiranya peniaga memulakan perniagaan dengan modal tunai, ini boleh direkodkan didalam buku Tunai dan Bank seperti diatas. Oleh kerana ini merupakan duit masuk, jumlah yang dimasukkan ditunjukkan sebagai positif di ruangtegak(column) Bank dan negatif di ruangtegak tambahan, Saham.
Sekiranya anda perhatikan, jumlah yang sama dimasukkan didalam kedua-dua ruangtegak. Perbezaannya satu nilai positif dan satu nilai negatif. Sekiranya dicampur nilai tersebut di ruanglintang (row) kita akan mendapat nilai ”0” (5,000 – 5,000).
Kiraan ”0” ini amat penting untuk memastikan rekod telah dicatatkan dengan betul.
Wednesday, August 27, 2008
Buku Tunai dan Bank Perniagaan
Buku Tunai dan Bank adalah dua buku Akaun yang utama untuk perniagaan. Buku Tunai dan Bank merekodkan duit masuk dan duit keluar perniagaan. Baki duit didalam buku ini semestinya sama dengan jumlah tunai di tangan dan duit didalam bank.
Mengemaskini buku Tunai dan Bank amat mudah, setiap duit masuk direkodkan sebagai positif dan duit keluar sebagai negatif (atau dalam kurungan). Nota transaksi ditulis di ruang kanan – tarikh, dokumen rujukan, no rujukan dan perkara.
Contoh buku dibawah, peniaga memulakan perniagaan dengan memasukkan duit 5,000 kedalam akaun bank. Kemudian 1,000 dikeluarkan sebagai tunai. Perniagaan menghasilkan jualan tunai 1,000. Sehingga akhir hujung bulan, pembayaran di buat untuk bil api dan kad kredit. Oleh itu baki duit perniagaan ini adalah 1,800 tunai di tangan dan 3,000 didalam akaun bank.
Buku Tunai dan Bank dikategorikan sebagai buku Aset. Buku tunai dan bank boleh dibeli dikedai alatan pejabat. Anda juga boleh mendapatkan contoh buku Tunai dan Bank di laman ini.
Wednesday, August 20, 2008
Buku Jualan dan Kos Jualan
Untung/Rugi perniagaan untuk satu tempohmasa juga boleh dikira dengan mengira perbezaan jumlah jualan dan jumlah kos penjualan untuk tempohmasa tersebut.
Ditulis dalamm bentuk matematik,
- Jualan (tempohmasa) - Kos Penjualan (tempohmasa)
= Untung/Rugi (tempohmasa)
Contoh kos penjualan:
Stok yang dijual
Kos pengangkutan
Kos pentadbiran perniagaan
Sewa kedai
...semua jenis perbelanjaan yang membolehkan Jualan dibuat.
Jenis buku akaun yang ada diatas adalah buku Jualan dan buku Kos Penjualan.
Dengan Buku Aset dan Tanggungan, buku akaun perniagaan ada empat jenis:
- - Buku Aset
- Buku Tanggungan
- Buku Jualan
- Buku Kos Jualan
Secara matematik ini boleh ditulis seperti berikut;
- Aset Bersih (awalmasa) + (Jualan – Kos Penjualan)
= Aset Bersih (akhirmasa)
Dalam contoh dibawah (400 + 300 = 700)
Segala jenis buku Akaun, yang mempunyai pelbagai nama, boleh di kategorikan dalam empat jenis buku Akaun ini. Jenis buku Akaun tersebut digunakan oleh semua perniagaan, samada peniaga runcit atau perniagan berbillion ringgit. Rekod komputer yang canggih juga menggunakan jenis buku Akaun yang sama.
Wednesday, August 13, 2008
Buku Aset dan Tanggungan
Didalam entri mengenai Untung dan Tunai, saya ada perkenal satu kaedah pengiraan untung dengan mengira peningkatan jumlah Harta/Aset perniagaan untuk tempoh waktu yang dikira.
Untuk lebih tepat, jumlah Tanggungan juga perlu ditolak dari pengiraan untuk mendapatkan jumlah Aset Bersih perniagaan. Oleh itu dengan menggunakan kaedah sama, jumlah Untung/Rugi perniagaan untuk satu tempohmasa adalah jumlah peningkatan Aset Bersih perniagaan untuk tempohmasa tersebut.
Sekiranya ditulis dari segi matematiknya,
- Aset Bersih (akhirmasa) - Aset Bersih (awalmasa)
= Untung/Rugi (tempohmasa)
Dua jenis buku Akaun umum yang ada diatas adalah buku Aset dan buku Tanggungan. Buku ini adalah jenis buku Akaun utama yang perlu ada untuk semua jenis perniagaan.
Contoh Aset Perniagaan:
Kereta peniaga
Van perniagaan
Komputer pejabat
Mesin pengeluaran
.... semua jenis harta perniagaan yang dibeli bukan untuk tujuan jualan.
Stok belum dijual
Hutang pelanggan
Tunai dalam bank perniagaan
Tunai dalam tangan perniagaan
Contoh Tanggungan Perniagaan:
Modal perniagaan
Untung/Rugi Perniagaan
.... modal pernigaan dan untung/rugi perniagaan adalah Tanggungan kerana duit ini adalah kepunyaan peniaga.
Hutang bank
Hutang pengedar
Wednesday, August 6, 2008
Apa Itu Untung, Apa Itu Tunai II
Prinsip paling asas adalah, duit perniagaan bukan duit peniaga. Lihat penerangan mengenai Entiti Perniagaan. Hanya untung bersih boleh diagihkan kembali kepada peniaga untuk kegunaan peribadi.
Cara kedua untuk mengira untung adalah menggunakan cara formal yang diajar disekolah perakaunan. Menggunakan data yang sama seperti entri sebelumnya.
Andaian kita ada membuat belanja tunai sebanyak 200. Oleh itu kiraan untung bersih adalah seperti berikut.
Kita masih mendapat pengiraan untung bersih yang sama seperti pengiraan pertama menggunakan kiraan peningkatan Aset Bersih perniagaan. Oleh itu hanya untung bersih 150 boleh diagihkan kembali kepada peniaga untuk kegunaan peribadi, bukan tunai ditangan 600.
Maklumat tambahan:
Jumlah jualan diperoleh dalam kiraan diatas kerana kita dapat lihat tunai telah meningkat dari 200 kepada 600 (600 - 200 = 400). Andaian dibuat perniagaan ada perbelanjaan tunai 200. Jadi jumlah tunai yang diperoleh oleh perniagaan untuk tempoh tersebut adalah (400 + 200 = 600).
Tuesday, August 5, 2008
Hantar Soalan Anda di Sini
Anda punya persoalaan mengenai pengurusan kos, buku akaun, cukai dan insuran dan memerlukan bantuan?
Anda boleh hantar soalan anda disini dengan membuat ulasan pada entri ini, atau boleh terus hantar emel kepada saya di isunik@gmail.com.
Sekiranya saya boleh bantu saya akan cuba, sekiranya tidak saya akan cuba panjangkan kepada yang boleh membantu.
Wednesday, July 30, 2008
Apa Itu Untung, Apa Itu Tunai I
Jumlah tunai ditangan tidak sama dengan untung perniagaan. Walaupun kita menbeli dan menjual secara tunai, jumlah duit ditangan diakhir perniagaan harian bukanlah untung yang sebenar. Perbezaan ini amat penting kerana duit yang boleh diagihkan adalah duit untung bukan duit tunai. Sekiranya duit tunai dibelanjakan bukan untuk tujuan membeli stok baru, ada kemungkinan perniagaan tidak dapat membuat putaran modal kerja untuk perniagaan hari berikutnya.
Ada dua cara mudah untuk mengira untung. Cara pertama dengan mengira berapakah peningkatan aset/harta perniagaan untuk jangkamasa yang hendak dikira. Contoh:
Aset diakhir bulan (800) tolak aset diawal bulan (500), memberikan untung kasar. Untung kasar ditolak dengan perbelanjaan yang berbayar/tertunggak (150), memberikan untung bersih 150.
Walaupun jumlah tunai ditangan adalah 600 diakhir bulan, untung bersih hanyalah 150. Dilihat dari sudut lain:
Dari jumlah tunai 600 tersebut, 200 adalah modal tunai asal, 100 modal tunai untuk penambahan stok yang sudah dijual dan 150 untuk membayar bayaran tertunggak. Hanya baki 150 boleh diagihkan untuk kegunaan selain dari perniagaan.
Oleh itu tunai ditangan bukan keuntungan perniagaan.
B3Lima
Wednesday, July 23, 2008
Yusof Gajah dan TPM
Saya tidak kenal saudara Yusof Gajah. Namun pada malam lepas, sambil menunggu mata lelap, mendengar celoteh penyampai Radio 24 berbincang tentang industi seni, lebih tepat seni lukis, dengan saudara Yusof Gajah.
Penerangan Yusof, walaupun dia seorang pelukis, amat tepat dan relevan sekiranya kita ingin berjaya dalam perniagaan. Penerangannya mudah dan senang difahami. Persoalannya berapa banyakkah lukisan perlu dilukis seorang pelukis dan dijual untuk menampung belanja ’sayur’.
Sekiranya perbelanjaan harian pelukis adalah 3000 sebulan, dia harus menjual 15 keping lukisan bernilai 200 sebuah untuk menampung perbelanjaan tersebut. Oleh kerana ada 30 hari sebulan, setiap lukisan perlu disiapkan dalam masa 2 hari.
Apakah implikasinya kenyataan tersebut? Dia tahu apa yang harus dihasilkan setiap bulan, perlu memikirkan bagaimana untuk menghasilkannya dan perlu menilai kemampuan diri untuk mencapai jualan tersebut. Dia juga tahu penghasilan lebih daripada itu adalah duit bonus atau untung bersih.
Saya difahamkan, en Yusof adalah pelukis terkenal dan berjaya. Sudah tentu antara faktornya kerana dia tahu bagaimana menjadikan kemahirannya satu perniagaan.
Istilah perakaunan untuk pengiraan diatas adalah ”Breakeven point” atau ”Titik Pulang Modal” (TPM). Pengiraan tersebut adalah perkara asas yang perlu ditentukan tidak kira perniagaan besar atau kecil.
B3Lima
Thursday, July 17, 2008
Petronas untung MYR62b, bukan jumlah besar
MYR62 billion, 62 dengan sembilan angka kosong dibelakangnya, bukanlah satu jumlah yang besar. Dengan jumlah penduduk 26 juta, juga wang ini dibahagi samarata kepada semua rakyat, setiap seorang hanya mendapat lebih kurang RM2,400 ringgit.
Berapa banyak barang boleh dibeli dengan wang sebanyak itu? Mungkin boleh habis dalam masa kurang sebulan, tetapi berapa ramai dimalaysia ini yang hidup kurang dari sebulan?
Dengan purata jangkahayat penduduk malaysia melebehi 70 tahun, duit tersebut seharusnya digunakan oleh Petronas untuk mengembangkan perniagaannya, untuk lebih mampu berdaya saing dimasa hadapan.
Apa akan jadi kepada Petronas bila minyak dan gas sudah tiada? Berapa banyak wang dibelanjakan oleh syarikat tersebut untuk membangunkan industri tenaga, untuk mencari tenaga alternatif misalnya. Selain keupayaan negara untuk menghasilkan sendiri keperluan makanan penduduknya, kebolehan untuk mendapatkan punca tenaga adalah satu ancaman kepada negara dimasa hadapan, jika tidak ditangani dari sekarang.
Saya fikir, walaupun adanya tekanan inflasi yang tinggi, yang lebih utama bukanlah bantuan dari kerajaan, perlu untuk golongan tertentu, tetapi lebih utama keupayaan kita untuk mengubah dan menilai semula perbelanjaan sendiri. Mungkinkah itu boleh bijak?
B3Lima
Wednesday, July 16, 2008
S.I.M.P.A.N
Putaran langkah yang disiarkan melalui entri terdahulu boleh dirumuskan separti berikut.
1) Simpan duit, walaupun sedikit. Berjimat, sedikit-dikit lama menjadi bukit.
2) Imbuhan sepanjang hayat, kenalpasti keperluan. Buat perancangan jangka panjang. Ini membantu kita mengenal pasti perbelanjaan mana yang lebih penting.
3) Mampu belanja, buat senarai keutamaan. Ukur baju dan buat perancangan bersesuain keupayaan.
4) Pelan tindakan awalan, kenalpasti kekurangan. Semua orang ada kekurangan, tetapi sekiranya dikenalpasti lebih awal, boleh diatasi dengan tindakan alternatif/pilihan lain.
5) Aktifkan perancangan. Perancangan perlu dilaksanakan, baru hasil boleh dilihat dan dinikmati.
6) Nilaisemula perancangan, buat perubahan perlu. Segala perancangan dan tindakan perlu diubah atau disesuaikan bila keadaan semasa dan andaian yang digunakan berubah.
Kertaskira Excel ini boleh membantu anda merangka perancangan kewangan anda.
B3Lima
Wednesday, July 9, 2008
SIMPA dan Nilaisemula
Segala perancangan perlu dipantau dan dinilaisemula secara berkala. Ini untuk memastikan objektif dicapai. Banyak perkara boleh berlaku dan berubah – politik, suasana semasa, sosial dan teknologi banyak mempengaruhi nilai simpanan dan keupayaan kita untuk mengekalkan jadual simpanan.
Sebagai contoh inflasi yang melambung tinggi boleh menyebabkan kos meningkat lebih dari dijangka. Tekanan inflasi mungkin hasil dari perubahan politik di dalam atau luar negara. Peranan inflasi memang sepatutnya dikira dalam perancangan jangka panjang. Ini kerana nilai duit akan menurun, selalunya, sejajar dengan perjalanan masa. Harga teh dua tahun dulu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan harga sekarang.
Kesan inflasi boleh diimbangi sekiranya kita gunakan tabungan pemampan. Ia boleh mengurangkan kesan dari tekanan inflasi.
Bila keadaan berubah, perancangan perlu disesuaikan dengan keadaan. Misalnya gaji yang meningkat membolehkan kita menambah jumlah tabungan. Seperti jadual dibawah, nilai ditambah setiap tahun, memastikan baki tabungan mencukupi, dan mampu menampan kenaikan mendadak kos belanja sekiranya berlaku.
Kertaskira Excel yang saya buat boleh membantu anda membuat pemantauan. Akan saya berikan secara percuma untuk ahli MyCommunity di MyBlogLog atau ahli Neighbourhood saya di BlogCatalog. Sehingga 30 Julai 2008 sahaja
B3Lima
Saturday, July 5, 2008
Rancang Itu Fikir, Buat Itu Untung
Pelan yang paling baik didalam dunia sekalipun, tidak akan membawa keuntungan tanpa dihasilkan melalui perbuatan. Jadi apa yang harus kita buat? Kita telah kenalpasti tindakan awalan kita. Langkah seterusnya adalah bertindak dan lakukan perancangan yang dibuat.
Pergi bank, buat simpanan. Pilih cara simpanan yang sesuai dengan kemampuan kita. Ada banyak cara, tetapi secara ringkas, seperti berikut:
1) Buku Simpanan Tetap
2) Buku Amanah Saham
3) Pelaburan Saham/Hartanah
4) Perlindungan Insuran/Takaful
Buat potongan berjadual supaya tidak tertinggal membuat simpanan setiap penggal masa yang ditentukan. Mungkin cara bulanan. Tetapkan semangat, jangan disia-siakan simpanan. Ikut perancangan dan pastikan duit simpanan hanya digunakan untuk apa yang telah dirancang.
Sekiranya kita buat perancangan tambahan lain untuk menambah sumber kewangan bila diperlukan, usahakan perancangan berlaku. Tabungan PTPTN misalnya, supaya boleh dapat pinjaman pembelajaran bila perlu. Atau usahakan anak mendapat pembelajaran cukup, supaya ada peluang mendapat biasiswa. Dan sebagainya.....
Kertaskira Excel yang saya buat boleh membantu anda mengambil tindakan bijak. Akan saya berikan secara percuma untuk ahli MyCommunity di MyBlogLog atau ahli Neighbourhood saya di BlogCatalog. Sehingga 30 Julai 2008 sahaja.
B3Lima
Tuesday, July 1, 2008
Duit Tak Cukup, Anak Keciciran
Duit simpanan tidak cukup. Apa tindakan selanjutnya? Cara paling mudah ialah batalkan rancangan untuk berbelanja. Tetapi ini belanja pembelajaran anak-anak? Masa depan mereka mungkin terancam kalau tidak sambung belajar.
Apabila kita memandu dilebuhraya dengan kelajuan 110km sejam, apa yang harus kita lihat dan perhatikan. Jarak yang selamat dari kereta dihadapan. Ini memudahkan kita untuk mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku kecemasan dihadapan kita. Kita boleh mengelak dan berhenti dengan selamat. Kita ada masa untuk berfikir dan rancang tindakan kita.
Faedah yang sama kita perolehi bila kita mampu merancang kewangan jangka panjang. Kita boleh nampak dimana kekurangannya. Kita boleh buat tindakan awal untuk mengelak dan memudahkan kita meneruskan perbelanjaan penting. Mungkin belanja yang hendak dibuat memang besar. Dengan gaji yang kecil, memang tidak mampu untuk disimpan sebanyak yang diperlukan. Contohnya paling dekat seperti jadual dibawah, belanja anak belajar peringkat tinggi, 7 tahun dari sekaranag misalnya. Kerajaan mungkin sudah berubah, keutamaan mungkin berbeza dan tiada bantuan dari kerajaan.
Bila kita sudah mengesan kekurangan simpanan dari awal, kita boleh ambil tindakan susulan. Kita boleh usahakan supaya ada cara lain untuk menampung belanja tersebut. Anak yang bijak boleh dapat tanggungan biasiswa, misalnya. Kita boleh menjadi ahli tabungan yang memberi faedah tanggungan, antara lain, pinjaman pembelajaran. Bank Rakyat, PTPTN dan ada beberapa instituti kewangan memberikan kemudahan tersebut untuk ahli sesuatu produk kewangan mereka.
Kertaskira Excel yang saya buat boleh membantu anda mengesan kekurangan simpanan ini. Akan saya berikan secara percuma untuk ahli MyCommunity di MyBlogLog atau ahli Neighbourhood saya di BlogCatalog. Sehingga 30 Julai 2008 sahaja.
B3Lima
Monday, June 30, 2008
Cukup Belanja, Kaedah Mudah
Tidak mengejutkan apabila senator Amirsham menyatakan bahawa penduduk miskin dinegara ini adalah 24% sekiranya paras garis kemiskinan dinaikkan kepada pendapatan kurang dari RM1500 sebulan. Secara kasarnya, satu keluarga kecil memerlukan pendapatan dalam RM3000 sebulan untuk hidup agak selesa di Kuala Lumpur.
Untuk perancangan jangka panjang, kita perlu mengambil kira faktor ini. Setelah kita kenalpasti tabungan keluar yang perlu dibuat sepanjang jangkaan hayat kita, kita perlu membuat senarai keutamaan. Contohnya seperti senarai berikut:
1) Kos Hari Perkahwinan
2) Kos Menyabut Kelahiran/Menguruskan Kematian
3) Kos Pembelajaran Anak-anak
4) Kos Berpindah Rumah Baru
5) Kos Pembelian Rumah
6) Dan sebagainya
Perbelanjaan tersebut disusun mengikut mana yang lebih utama. Setiap kos yang dikenalpasti kemudiannya dikaji semula dan ditetapkan selari dengan kemampuan kita untuk melaksanakannya. Kos hari perkahwinan boleh jadi RM5000 atau RM50000 bergantung pada kemahuan dan andaian yang dibuat.
Setelah itu barulah kita tahu dengan jelas, berapakah jumlah simpanan yang perlu kita buat secara berjadual dari sekarang. Bergantung pada jumlah pendapatan bulanan kita, kos perbelanjaan yang telah disenaraikan mungkin perlu diubah kepada yang lebih rendah, supaya jumlah simpanan cukup ketika wang tersebut diperlukan. Contoh pengiraan seperti jadual dibawah.
Kertaskira Excel yang saya buat boleh membantu anda membuat pengiraan mudah ini. Akan saya berikan secara percuma untuk ahli MyCommunity di MyBlogLog atau ahli Neighbourhood saya di BlogCatalog. Sehingga 30 Julai 2008 sahaja.
Pemilikan ekuiti pada 19.4 peratus, peranan individu
”KUALA LUMPUR 26 Jun — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat kepada 19.4 peratus pada tahun 2006 daripada 18.9 peratus pada tahun 2004”...berita
Mengikut Bursa Malaysia, nilai saham pada May-2008 adalah RM945.68 billion. Pada kadar 19.4%, nilai saham dipegang oleh Bumiputra adalah RM179.68 billion. Saya tidak boleh bayangkan betapa besarnya nilai tersebut.
Sekiranya kita ada duit sebanyak itu, dan semuanya kita habiskan untuk membeli rumah berharga RM200 ribu setiap satu, kita akan ada 899,000 buah rumah. Hampir sama dengan jumlah penduduk sebuah bandar kecil.
Saya cuma ada 0.00000052872% dari nilai Bursa, atau RM5,000, lebih kurang. Memang kecil…., mungkin sudah jatuh, dengan harga minyak mencapai USD140. Tapi sekiranya RM10 juta orang ada RM5,000 saham setiap seorang, nilai peratus pegangan ekuiti menjadi 5.29% atau RM50 billion nilai saham.
Mungkin sebagai individu tidak membawa kesan, tapi secara kumpulan mungkin mampu merubah sesuatu. Mungkin hanya angan-angan, kerana setiap individu punya keutamaan sendiri..
B3Lima
Sunday, June 29, 2008
Pendapatan Kurang RM1500, Miskin - Yang Tersirat
Jumlah rakyat miskin 24%, sekiranya Paras Garis Kemiskinan RM1,500. Apa yang tersurat memang difahami. Satu dalam empat orang penduduk negara ini miskin. Lebih kurang 7 juta orang? Apa yang dimaksudkan dengan miskin?
- Keputusan Fatwa 1987, Negeri Selangor
- Takrif Fakir
- "Seseorang yang tidak mempunyai harta dan tiada kuasa berusaha/ bekerja/menanggung kerana tua atau cacat pada badan untuk mencari nafkah diri dan tanggungan yang bolehmencukupi keperluan hidupnya seharian yang patut pada adat - misalnya seseorang yang mempunyai tanggungan 5 orang anak yang mencukupi sara hidup harian mereka sebanyak RM 6.00 (makan dan minum orang yang sederhana) ini bererti sebulan ia memerlukan belanja sebanyak RM 180.00, sedangkan sara hidup yang diperolehi sekadar kurang daripada separuh (50% ke bawah).
- Takrif Miskin
- "Seseorang yang ada memiliki harta benda atau berkuasa berusaha dan bekerja tetapi pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi keperluan hidupnya dan keluarganya yang patut pada adat, misalnya seseorang yang mempunyai tanggungan lima orang anak yang mencukupi sara hidup harian mereka sebanyak RM 6.00 (makan dan minum orang yang sederhana) ini bererti sebulan ia memerlukan belanja sebanyak RM 180.00, sedangkan sara hidup yang diperolehi tidak mencukupi keperluannya 100%.
Ini fatwa 1987. Apa yang saya faham sekiranya sebuah keluarga mempunyai pendapatan kurang dari keperluan sara hidup harian, keluarga tersebut adalah keluarga miskin. Mereka jadi fakir bila pendapatan kurang 50% dari keperluan sara hidup harian, tidak berharta dan tidak mampu bekerja.
Selepas 21 tahun, berapakah sara hidup harian hari ini? Berapa wang dalam poket kita bila hujung bulan atau kita bergantung pada hutang kad plastik. Ramai orang kaya miskin, itu yang saya nampak hari ini. Mungkin itu yang tersirat….
B3Lima
Monday, June 23, 2008
Ruyung dan Sagu
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Agak sukar difahami sekiranya kita tidak mengenal apa itu ruyung. Saya difahamkan ruyung itu adalah kulit tebal pokok sagu, dan untuk mendapatkan sagu, kulitnya harus dipecahkan. Saya juga ada terbaca ruyung itu adalah pokok sagu. Apapun, samada kulit atau pokoknya, harus diusahakan dengan segala kudrat untul mengeluarkan isinya. Hendak seribu daya.
Teringat cerita diPapua, ulat sagu sedap disana, mengikut cerita. Dibela ulat dalam pokok sagu yang sudah ditebang, dan dikutip selepas besar, dibakar, dan dimakan didalam keraian. Mungkin banyak protein dari ulat sagu ini.
Jika ruyung yang dipecahkan besar, banyak jugalah isinya untuk dihasilkan. Sekiranya dibuat perbandingan, sekiranya tabung simpanan kita besar, besar jugalah agaknya simpanan duit kita. Sebesar mana harus kita simpan? Kita boleh ambil contoh, orang hendak mendirikan rumah tangga 5 tahun dari sekarang. Mungkin untuk kali kedua. Apakah kosnya?
Kos meminang – RM2,000 termasuk kos mengangkut rombongan
Kos hantaran – RM10,000 serba satu langkah bendul
Kos mak andam – RM1,000 campur sewa salinan 5 kali
Kos kenduri – RM10,000 buat didewan orang –ramai
Kos masuk rumah – RM10,000 dengan katil king size
Kos badan-dua – RM5,000 dengan bilik sendiri. Berterusan tiap 2 tahun sekiranya aktif.
Agak besar, tapi ini cuma anggaran. Mungkin lebih rendah, mungkin lebih tinggi, bergantung kepada kemampuan kita. Yang pentingnya banyak modal yang perlu dikeluarkan. Jangan cuba berhutang, kerana secara realitinya, keperluan untuk duit ini akan berterusan.
Cara yang terbaik, ialah kita tentukan jumlah yang kita perlukan, sepanjang hayat kita. Ini sama secara dasarnya dengan prinsip Perniagaan Berterusan dalam perakaunan. Seperti juga berniaga, kita sebaiknya membuat belanjawan jangka panjang. Bagaimana dengan kos anak belajar, kos pengubahsuaian rumah, kos kematian, kos persaraan dan sebagainya.
Bila sudah dapat ditentukan jumlah yang akan kita belanjakan, mungkin sehingga umur 80 tahun, baru boleh kita tentukan jumlah yang perlu kita simpan dari sekarang. Sekiranya kita lihat Graf dibawah, jumlah tabungan naik dan turun, tapi sekiranya kita bijak mengagak, jumlah simpanan ditangan masih cukup untuk digunakan.
Kertaskira Excel yang saya buat boleh membantu anda membuat pengiraan mudah ini. Akan saya berikan secara percuma untuk ahli MyCommunity di MyBlogLog atau ahli Neighbourhood saya di BlogCatalog. Sehingga 30 Julai 2008 sahaja.
Wednesday, June 18, 2008
Sebulan Seratus, Kertaskira Percuma
Sebulan seratus disimpan akan menjadi 41 ribu dalam 20 tahun, anggaran kasar. Saya akan hantar kertaskira Excel ini secara percuma kepada yang menjadi ahli MyCommunity saya di MyBlogLog atau ahli MyNeighbourhood saya di Blog Catalog, sebelum 30 Julai 2008.
Berapakah jumlah simpanan kita, selama kita berkerja sehingga umur bersara? Saya telah membuat satu pengiraan ringkas menggunakan kertaskira Excel. 41 ribu selepas 20tahun. Agak kecil nilainya, tetapi apa kemungkinannya....
Kegawatan ekonomi bukanlah sesuatu yang selalu berlaku. Namun beberapa kali ianya tetap berlaku dengan berbagai sebab. 1985, 1997 dan 2008 seperti ada putaran dalam setiap sepuluh tahun. Oleh itu bila kita merancang kewangan, semestinya kita merancang untuk jangkamasa panjang. Bukan untuk 5 tahun, 10 tahun tapi sehingga umur kita menjangkau 70 atau 80 tahun.
Perancangan kewangan ini perlu kerana, kita tidak tahu apa yang berlaku sepanjang hidup kita, dan kita perlu ada kestabilan ekonomi walaupun dalam keadaan gawat. Keadaan sekarang belum lagi terlalu teruk seperti tahun 1997, tapi tanda-tandanya sudah ada. Perlu ada simpanan sebagai jaringan kecemasan semasa kesempitan duit.
Saya pikir, kebanyakan orang tidak menguruskan kewangan keluarga sebaik kita menguruskan kewangan dan pentadbiran ditempat kerja. Walaupun secara kasarnya, ianya agak sama, iaitu menguruskan perjalanan keluarga dan memastikan kehidupan selesa. Mungkin kerana suasana sekeliling yang mempengaruhi kita, kemewahan dikejar bukan keselesaan yang di cari.
Kemewahan tanpa keselesaan, kemewahan dengan hutang keliling pinggang.
Ada beberapa cara tabungan yang kita boleh buat. Selain menyimpan bawah bantal dan dalam tong minyak, kita boleh membuat simpanan tetap, amanah saham, insuran/takaful, pelaburan dan lain-lain. Akan diterangkan satu persatu dan dibuat perbandingan dilain entri.
B3Lima.
Monday, June 16, 2008
Hidup Lebih Sihat II
Perjalanan kereta yang selalunya mengambil masa setengah jam, akan menjadi 1 jam lebih, bila menggunakan perkhidmatan awam. Sebab utamanya kerana, bas terutamanya, memang agak boleh dipercayai tidak akan menepati masa. Banjaran ketidaktepatan masa lebih kurang 30 minit. Dengan masa yang terbuang begitu banyak, menunggu bas dan perjalanan yang perlahan kerana trafik sesak, kita boleh mengambil usaha untuk menambahkan ilmu dengan membaca buku-buku ilmiah. Apa buku pun boleh membawa menafaat sekiranya dibaca, sebenarnya.
Faedah lain yang timbul, bila waktu bas yang terhad, kita tidak perlu lagi membuat kerja lebih masa. Dengan itu perlu membuat perancangan masa yang lebih baik untuk memastikan kerja selesai waktu kerja. Ini akan mengurangkan tekanan kerja, dan juga membantu meningkatkan kesihatan kita.
Boleh dirumuskan, kesan kos petrol tinggi ini, akan ada kebaikanya kerana kita akan banyak melakukan senaman dan tekanan kerja juga akan kurang. Ditambah pengetahuan yang bertambah kerana masa terluang digunakan untuk membaca.
Saya tahu ini agak janggal, dan berbunyi agak sinis, tapi inilah realitinya sekarang ini. Adakah kita bersedia untuk realiti ini?
B3Lima
Saturday, June 14, 2008
Hidup Lebih Sihat I
Ada kesan positif yang boleh diambil dari kenaikan kos petrol yang tinggi ini. Sudah tentu kenaikan mendadak ini membuat semua pihak melakukan sesuatu yang boleh mengurang kos sarahidup.
Sekiranya kita mengambil langkah untuk menggunakan perkhidmatan awam untuk ketempat kerja, itu mungkin satu langkah bijak. Disebabkan kekurangan laluan bas, kemungkinan besar tempat tunggu bas jauh dari rumah. Untuk menunggu bas, mungkin kena menapak jauh, 15 minit lebih, dan ini merupakan senaman pagi yang baik. Kena keluar awal dari rumah sebab bas tidak bergerak secepat kereta, pukul 6 pagi, untuk mengelakkan kena marah dengan ketua.
Latihan pagi ini akan berterusan, berdiri dalam bas, berlari mengejar bas, mengasak-ngasak berebut bas atau lrt, dan berjalan kaki laju menuju ofis. Semua ini akan mengambil masa lebih kurang dua jam atau lebih.
Nasihat dari pakar kesihatan, senaman 20 minit sehari boleh membantu peningkatan kesihatan seseorang. Sudah tentu senaman pagi selama 2 jam sesuatu yang sangat baik untuk kita.
B3Lima
Thursday, June 12, 2008
Kerangka Perakaunan
Prinsip atau asas perakaunan yang dibincang secara ringkas diatas, masih perlukan perincian kerana prinsip tersebut cuma memberikan kerangka teori perakaunan. Tanpa peraturan perincian, ianya akan menghasilkan berbagai telahan dan amalan berbeza yang menyukarkan pengguna laporan kewangan membuat perbandingan tepat dan membuat pilihan pelaburan yang betul.
Oleh itu perlunya ada perundangan kerangka perakuanan melalui Companies Act dan FRS (Financial Reporting Standard). Kerangka perakaunan yang dicatatkan dalam perundangan membataskan ruang yang boleh digunapakai oleh akauntan dalam menilai dan merekodkan sesuatau transaksi.
Contoh perniagaan yang agak rumit dan memerlukan perundangan adalah sektor pembinaan. Oleh itu MASB telah menghasilkan FRS yang spesifik untuk sektor pembinaan, dan memberikan panduan terperinci bagaimana setiap transaksi perlu direkodkan dalam buku akaun.
Tidak cukup ruang diblog ini untuk membincangkan secara penuh teori dan perundangan perakaunan. Yang diharapkan, bicara singkat disini memberikan sedikit pengenalan tentang asas perakaunan yang digunapakai oleh pengamal akaun.
Entri seterusnya akan lebih fokus kepada kegunaan perakauan didalam aktiviti kewangan harian dan perniagaan kecil.
B3lima
Wednesday, June 11, 2008
Nilai Sebenar
Dalam perniagaan memang banyak transaksi yang boleh direkodkan dan dilaporkan secara terperinci didalam buku akaun. Namun tidak semua transaksi tersebut memberikan nilai sebenar besar yang boleh mengubah pendirian atau pilihan pengguna laporan kewangan.
Contoh yang paling jelas, pembelian mesin pengira yang berharga RM15, memenuhi syarat-syarat prinsip padanan kos jualan, dan membolehkan harga tersebut disusutnilai selama lebih dari setahun. Namun nilai sebenar transaksi tersebut sangat kecil, dan faedah dari usaha tersebut sangat kecil.
Oleh itu kebanyakan perniagaan, mengambilkira kos yang tinggi untuk melakukan sesuatu yang mungkin tidak perlu, langsung transaksi seperti diatas tidak dikira sebagai transaksi pembelian aset, lebih dikira sebagai pembelian kos dan direkodkan sebagai kos pentadbiran.
Pilihan tersebut dalah berasaskan prinsip nilai sebenar transaksi.
B3lima.
Tuesday, June 10, 2008
Objektif
Prinsip terakhir dalam perakaunan adalah kebolehan laporan secara objektif. Menurut prinsip ini, setiap pengamal akaun akan boleh menghasilkan laporan yang sama sekiranya asas-asas pengiraan yang sama digunakan.
Oleh itu laporan kewangan tidak akan menghasilkan nombor yang berbeza sekiranya ianya dilakukan di Malaysia ataupun dimana-manapun sekira prinsip, kerangka dan perundangan kewangan serupa digunakan.
Namun prinsip ini mungkin menghasilkan dua pendapat yang berbeza. Satu pendapat bermaksud segala rekod mestilah boleh diaudit berdasarkan dokumen asal.
Satu lagi pendapat mengatakan ada aras keobjektifan yang boleh digunakan. Aras yang diterimapakai oleh semua pihak adalah yang harus digunakan. Penilaian kedua ini sama seperti kita menilau kecantikan seseorang, yang secara dasarnya agak sukar dinilai. Namun mungkin ada kriteria-kriteria sama yang boleh digunakan dalam menilai kecantikan, dan kesefahaman pernilaian ini yang menghasilkan keputusan secara objektif.
Walaubagaimanapun, pendapat kedua kadang-kadang tidak tepat kerana suara majoriti tidak selalunya betul. Oleh itu didalam perakaunan, setiap transaksi mestilah berdasarkan dokumen yang boleh diaudit.
B3lima
Monday, June 9, 2008
Ketekalan
Sekiranya kita membaca sesuatu laporan kewangan, kita mestilah boleh membandingkan laporan yang dibuat pada masa sekarang dengan laporan yang dibuat sebelumnya. Kebolehan untuk membuat perbandingan sangat perlu, supaya pembaca boleh minilai secara telus samada perniagaan telah berkembang atau menguncup, atau keuntungan yang dilaporkan keuntungan boleh dinilai pada kadar yang sama dengan keuntungan lepas.
Untuk membolehkan perkara tersebut berlaku, prinsip ketekalan digunakan dimana setiap asas-asas pengiraan dalam merekodkan transaksi semestinya dilaporkan dan digunakan secara kekalterus tanpa perubahan.
Sekiranya perubahan perlu dalam asas pengiraan, laporan lepas mesti diubah mengikut asas pengiraan baru supaya perbandingan dapat dilakukan.
Contoh asas pengiraan yang boleh diubah seperti, panjang tahun susutnilai aset. Mungkin pada awalnya kita menjangkan susutnilai selama 5 tahun, namun mengubah asas kepada 10 tahun ditahun berikutnya. Pengiraan susutnilai aset adalah berasaskan prinsip padanan kos jualan. Sekiranya perubahan asas pengiraan tidak dilaporkan, ianya menyulitkan pembaca laporan kewangan membuat perbandingan yang tepat.
B3lima.
Sunday, June 8, 2008
Konservatif
Ada setengah aktiviti lasak mempunyai risiko yang tinggi. Permainan seperti “Base Jumping”, telah meragut banyak nyawa penerjun handalannya kerana mereka cuba menguji sejauh mana mereka boleh pergi dalam melakukan penerjunan. Selain terjun payung dari bangunan tinggi, mereka juga melompat dari puncak air terjun atau formasi batu menegak tinggi. Dengan kelajuan angin yang sukar dijangka dan ketinggian lompatan yang rendah, penerjun hanya ada beberapa saat untuk bertindak membuka payung terjun dan mengawal pendaratan. Memang satu risiko yang tidak boleh di insurankan, namun ciri bahaya itu yang membuat penerjun lebih teruja.
Akuantan dikatakan sebagai satu profesi yang sangat tidak mencabar. Itu mungkin hanya satu andaian umum. Ini mungkin kerana pengamal akaun dikawal oleh prinsip konservatif atau prudens semasa merekodkan transaksi dalam buku akaun.
Ada banyak kemungkinan yang berlaku jika kita terjun payung dari puncak air terjun. Kemungkinan paling buruk sudah tentu payung tidak terbuka dan penerjun menemui ajalnya. Sebaliknya, mungkin kelajuan angin menyebelahi nasib penerjun dan penerjun dapat mendarat dengan baik tanpa sebarang kecederaan.
Begitu juga bila kita menilai sesuatu transaksi, sejauh mana nilai sebenar transaksi tersebut. Di dalam perakaunan, sekiranya ada kemungkinan sesuatu transaksi tersebut akan membawa kerugian kepada perniagaan, kemungkinan kerugian tersebut hendaklah direkodkan sertamerta didalam buku semasa kemungkinan tersebut dikenalpasti.
Sebaliknya jika satu transaksi tersebut dijangka boleh menghasilkan untung yang lebih dari yang direkodkan sekarang, kemungkinan tersebut hanya boleh direkodkan dalam buku bila ianya terhasil secara pasti.
Prinsip koservatif ini kadangkala tidak selari dengan prinsip lain seperti prinsip perniagaan berterusan yang berasaskan kepercayaan perniagaan akan terus maju dan berkembang. Keperbedaan ini ditangani melalui penggumbalan Financial Reporting Standard (FRS) dan perundangan kerangka perakaunan.
B3Lima
Saturday, June 7, 2008
Kos Petrol Naik, Tersilap Kira!!
Ok. Saya tersilap jumlah rebat sebenar, yang sepatutnya RM625 setahun. Jadi pemandu kancil hanya dapat untung RM2 sebulan. Itupun kalau duit rebat RM625 setahun tidak digunakan untuk membeli tayar baru!
Berapa jauhkah kita boleh memandu dengan 130 liter sebulan? Lebih kurang 1250km? JB ke Pulau Pinang, pergi dan balik mungkin kalau kita tidak bekerja dan duduk santai. Sebaliknya jika kita bekerja, seperti kebanyakan orang, katakan bekerja 25 hari sebulan, dengan 1250km kita boleh memandu sejauh 50km sehari duahala, atau sehala 25km sehari.
Nampaknya pemandu Kancil yang tinggal jauh dari tempat kerja, lebih 25km sehala, mungkin tidak dapat menikmati faedah rebat RM2 sebulan. Kena pindah dekat dengan tempat kerja, lebih bagus kalau tempat kerja jauh dari pasaraya besar atau tempat hiburan yang memerlukan belanja sampingan besar hanya untuk bersiar-siar. Sebab bersiar-siar, akan menambah perjalanan kita, yang menambah jumlah penggunaan RON97, dan akibatnya menambah kos bulanan petrol. Jadi tiada cuti-cuti malaysia, atau bersiar santai, untuk pemandu Kancil yang kerdil seperti kita. Kedai mamak pun tak boleh singgah, waktu balik kerja!
Tetapi saya fikir, kesilapan paling besar adalah kepercayaan bahawa kereta, makanan, minuman, rumah dan segalanya yang kita ada, dihasilkan dari tangan kita sendiri. Kita tidak bergantung dan membeli apa-apa dari orang lain selain membeli petrol. Mungkin itu satu pemikiran angan-angan, sepertinya angan-angan si mat jenin.
Tapi adakah kemungkinan kebaikannya dengan peningkatan harga petrol. Saya fikir ada…
B3Lima
Thursday, June 5, 2008
Kos Petrol Naik, Matematik Mudah!
Belanja RM250 sebulan dengan harga RON97 pada kadar RM1.92/litre. Jumlah petrol yang digunakan adalah 130 litre sebulan. Dengan En. RON97 sekarang bernilai RM2.70/litre, belanja petrol sebulan meningkat kepada RM350 sebulan, peningkatan mendadak 40%.
Tapi bukan itu sahaja, boleh dapat rebat RM650 setahun untuk kereta dibawah 2000cc. Rebat sebulan adalah RM54. Untuk orang kebanyakan orang peningkatan sebenar cuma RM46 sebulan, atau 18% setelah rebat diambil kira.
Dan lagi untuk pemandu Kancil dan sejenisnya yang berbelanja mungkin cuma RM150 sebulan, kerana cc kereta yang rendah. Belanja petrol bertambah hanya sebanyak RM50 sebulan. Dengan rebat RM54, pemandu Kancil untung RM4 sebulan!!!!
Dimana silapnya pengiraan kos diatas?
Thursday, May 29, 2008
Perniagaan Berterusan
Sekiranya kita berniaga, kita sudah tentu meletakkan objektif yang perniagaan tersebut akan terus maju untuk jangkamasa yang berterusan. Ini membolehkan kita membuat keputusan samada untuk terus melabur dalam perniagaan tersebut.
Sekiranya perniagaan dijangka tidak berterusan, sudah tentu sukar untuk peniaga membeli mesin canggih yang mahal. Produk yang hendak dijual juga mungkin tidak disimpan dengan banyak kerana tidak pasti produk tersebut boleh dijual dimasa akan datang.
Oleh itu, entiti perniagaan yang berterusan adalah prinsip akaun yang sangat penting. Sekiranya perniagaan ditutup, harga barangan dan nilai perniagaan akan ditentukan berdasarkan nilai semasa sekiranya perniagaan dijual.
Nilai ini mungkin lebih tinggi atau lebih rendah dari nilai perniagaan didalam buku akaun. Keadaan ini mewajibkan akauntan untuk mengubah nilai perniagaan didalam buku akaun, sejajar dengan nilai semasa, sekiranya perniagaan perlu dijual atau ditutup.
b3lima
Technorati Profile
Undergoing MyBlogLog Verification
Saturday, May 24, 2008
Tempoh Buku
Kita selalu lihat syarikat mengumumkan hasil dividen untuk tempoh perniagaan tertentu. Tempoh atau jangkamasa yang selalu digunapakai adalah selama setahun. Tempoh perniagaan amat penting untuk pengguna akaun dan pemegang saham menilai prestasi perniagaan secara berkala.
Oleh itu buku akaun mesti boleh dibentang untuk jangkamasa yang ditentukan. Jangkamasa tersebut selalunya secara bulanan, setiap 3 bulan dan secara tahunan. Jangkamasa tersebut bergantung kepada keperluan pengguna buku akaun dan keperluan undang-undang.
Untuk pengguna dalaman dan pentadbir perniagaan, rekod bulanan memang perlu disiapkan. Ini membolehkan mereka merangka halatuju perniagaan secara berterusan. Untuk pemegang saham pula, jangkamasa setiap 3 bulan dan setahun, amat sesuai untuk mengetahui prestasi syarikat.
Oleh itu prinsip ini, membolehkan pengamal akaun menetapkan sistem dan proses yang diperlukan untuk membolehkan buku akaun dibentangkan mengikut jangkamasa yang ditetapkan.
Buku Fooling Some People All The Time memberikan sedikit cerita mengenai apa yang tidak patut dibuat oleh syarikat korporat dalam laporan kewangan mereka.
B3Lima
Monday, May 19, 2008
Rumusan Prinsip Umum Perakaunan
Prinsip entiti perniagaan dan catatan bergu merupakan panduan bagaimana transaksi itu direkodkan. Secara asasnya, semua transaksi perniagaan hendaklah direkodkan secara berasingan dari transaksi peribadi peniaga dan setiap transaksi hendaklah direkodkan secara catatan bergu.
Prinsip kos asal dan ukuran duit menetapkan apakah nilai yang perlu direkodkan dalam buku akaun. Nilai yang hendak direkodkan mestilah kos asal transaksi dan ukuran nilai yang digunakan adalah ukuran duit.
Sementara prinsip jualan terhasil dan padanan kos merupakan panduan bilakah dan jenis rekod yang dibuat untuk setiap transaksi perniagaan. Setiap transaksi merupakan padanan kos dan jualan dimana jualan hanya terhasil bila nilai jualan dan kemungkinan harga jualan dibayar boleh ditentukan dengan tepat. Sekiranya jualan belum terhasil, kos barangan akan dikira kos stok dan disimpan sebagai aset sementara.
Jika anda berminat untuk melihat contoh bagaimana transaksi perniagaan direkodkan, buku The Accounting Game amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan umum.
Enam prinsip-prinsip akaun yang diterangkan diatas adalah prinsip umum perakaunan. Namun dalam merekodkan buku akaun, kita perlu melihat penggunaan prinsip-prinsip diatas secara praktikal. Ada beberapa prinsip perakaunan tambahan digunapakai semasa merekodkan transaksi perniagaan. Antaranya jangkamasa buku, perniagaan berterusan, konservatif, ketekalan, nilai sebenar dan objektif. Prinsip-prinsip ini akan dijelaskan dalam tulisan-tulisan berikutnya.
B3Lima
Thursday, May 15, 2008
Padanan Kos
Pasar malam adalah tempat dimana penjual dan pembeli bertemu. Konsep pasar telah lama wujud dan terus berkembang dengan kemudahan teknologi canggih kini. Sedikit sejarah mengenai konsep pasar ini diutarakan dalam buku mengenai free market ini.
Di pasar malam kita dapat lihat penjaja menjual barang-barang yang kebanyakannya adalah dalam bentuk kecil dan mudah untuk dibawa. Barang makanan, misalnya, adalah barang yang mempunyai jangka hayat yang singkat. Harga barang-barang tersebut agak murah dan boleh dibayar dengan jumlah wang yang kecil.
Jika kita lihat lebih mendalam, barang-barang tersebut dikeluarkan oleh kilang-kilang yang memerlukan mesin yang canggih untuk mengeluarkan produk dengan lebih cekap. Harga mesin juga agak mahal dan memerlukan modal yang besar untuk dibeli. Namun untuk menentukan harga barangan yang dikeluarkan, pengilang tidak mengira keseluruhan harga mesin hanya untuk satu pengeluaran. Jika ini berlaku, harga barangan akan terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh pengguna.
Apa yang berlaku kos mesin tersebut diagihkan untuk jumlah pengeluaran sepanjang hayat mesin tersebut. Jika formula ini diikuti, hanya jumlah kecil harga mesin dimasukkan dalam harga barangan. Ini membolehkan barangan dijual dengan harga berpatutan.
Kaedah ini dinamakan padanan kos dengan jualan. Prinsip ini menyatakan bahawa kos mesti dipadankan dengan jualan terhasil dari kos tersebut. Sekiranya jualan tidak terhasil, kos barangan akan disimpan sebagai aset sementara sehingga barangan terjual.
B3Lima
Monday, May 12, 2008
Jualan Terhasil
Jualan sangat penting dan menentukan hidup mati perniagaan. Ada banyak cara jualan boleh ditingkatkan seperti yang disarankan oleh buku Selling Spin ini.
Namun bila kita harus merekodkan jualan kita? Ada beberapa perkara berlaku dalam satu putaran jualan. Setiap putaran jualan bermula dari kemahuan pengguna yang ingin membeli barang yang dijual. Kemahuan pengguna ditafsirkan oleh pengedar dan pengedar memesan barang dari pengilang. Pengilang pula akan membeli bahan mentah untuk diproses dan menghasilkan produk akhir yang akan dibeli oleh pengedar. Pengedar akan memasarkan produk melalui kedai-kedai yang akan menjual terus kepada pengguna.
Oleh itu kita dapat lihat tafsiran jualan adalah berbeza untuk setiap jenis perniagaan. Bagi pihak pengilang, jualan berlaku bila pengedar membayar harga produk dihantar oleh pengilang. Bagi pengedar mungkin jualan ditafsirkan bila pekedai membayar harga barang yang dihantar ke kedai. Dan bagi peniaga barangan, jualan hanya mungkin dikira bila barang dibeli oleh pengguna.
Persoalannya bolehkah pengilang mengira jualan bila barang dipesan oleh pengedar sebelum menunggu barang dihantar kepada mereka? Bagi pengedar pula, bolehkah jualan direkodkan bila duit tempahan diterima dari pekedai-pekedai? Adakah boleh jualan dikira bila pekedai memberi hutang kepada pengguna untuk membeli produk?
Bilakah sebenarnya jualan itu terhasil? Mengikut konsep perakaunan jualan tidak terikat kepada bayaran tunai yang diterima. Jualan terhasil bila harga jualan dan bayaran yang akan diterima dimasa hadapan boleh ditentukan secara tepat.
B3Lima
Friday, May 9, 2008
Kunci Hilang
Kadang-kadang kami menonton wayang bila ada waktu terluang. Selalunya kami keluar sekumpulan selepas waktu makan malam. Suasa di England waktu musim sejuk sememangnya agak muram. Semua orang akan keluar memakai lapisan baju yang tebal untuk menahan kesejukan.
Pada hari tersebut hanya seorang saja membawa kunci rumah. Cerita di panggung agak menarik dan terlupa sekejap perkara diluar.
Setelah habis cerita, kami pun bergegas ingin pulang kerana hari pun sudah agak lewat dan cuaca diluar semakin sejuk. Namun salah seorang kawan kami masih terpinga-pinga mencari sesuatu. Kami hairan dan bertanya, “Kau cari apa Mat?”. “Kunci rumah hilang lah!”, jawabnya risau. “Terjatuh kat lantai agaknya?”, Din mencelah. “Tak tau lah”, Mat semakin risau. Kami mencari-cari ditempat kami duduk tadi namun tak terjumpa kunci tersebut. Nampaknya terpaksalah kami memecah pintu masuk rumah nanti.
Sedang kami terpinga-terpinga memikirkan apa yang perlu dibuat datang seorang wanita Inggeris bertanya dengan kuatnya, “Is this yours love?”, sambil menunjukkan kunci bersaiz 6 inchi ditangannya. Mat tersengih dan berkata, “Yes. Thanks a lot!”. Rumah kami memang rumah lama dan kuncinya pun bersaiz agak besar. Nampaknya ada bagusnya kalau kunci rumah bersaiz besar. Senang sikit nak cari kalau jatuh dari poket jaket.
www.kembaraverden.blogspot.com
Wednesday, May 7, 2008
Manajed bt Hj Wahid
Di Johor, mee rebus Hj Wahid memang terkenal. Saya kurang pasti dimana kedai asal Hj Wahid ini. Kini banyak kedai cawangan dibuka oleh anak-anak Hj Wahid menggunakan nama kedai Mee Rebus Hj Wahid. Setiap kedai tersebut saya fikir dijalankan oleh anak-anak Hj Wahid dengan menggunakan resepi asal.
Penjualan dikedai-kedai ini sangat rancak terutama pada waktu makan tengahari. Hinggakan perlu beratur untuk mengambil mee rebus yang disediakan didepan pelanggan.
Suatu hari kawan saya berkata pada saya. ”Nama anak Hj Wahid ini agak lain kan?”. ”Kenapa?” saya tanya. ”Kedai yang ini nama anaknya Manajed”, kata kawan saya. ”Mana awak tahu?”, saya hairan. ”Itu kat papantanda kedai”, kawan saya menunjuk. Saya menoleh dan melihat papantanda kedai tersebut. Tertulis atas papantanda teresebut dengan jelasnya ”Mee Rebus Hj Wahid”. Dan dibawah nya ada tulisan agak kecil ”Managed by Hj Wahid”.
Bahasa Inggeris memang mengelirukan.
www.kembaraverden.blogspot.com
Saturday, May 3, 2008
Kaki Kotor
Saya jarang bawa anak saya kepantai. Saya tahu jika anak saya mandi dipantai, saya terpaksa mandi bersama untuk menjaga keselamatan mereka. Bukan saya tidak berapa suka mandi, tetapi malas hendak membersihkan air laut selepas kepantai.
Namun suatu hari, ada perkelahan di pantai yang dianjurkan oleh pihak syarikat. Anak-anak saya pun terus meluru kepantai bila sampai ketempat perkelahan. Mama terus memarahi mereka supaya makan dahulu dan menukar pakaian sebelum mandi laut.
Selepas makan, anak-anak saya pun menukarkan pakaian dan pergi mandi laut. Saya pun terpaksa akur dan menukar baju dan seluar dan memakai seluar mandi. Saya turut berendam dilaut sambil memerhatikan anak-anak saya dari dekat. Mereka tidaklah pandai berenang dan saya menasihati mereka untuk bermain dikawasan yang dalamnya separas pusat mereka. Ini mengelakkan mereka dari terhanyut ketempat yang lebih dalam.
Saya lihat anak saya tersedak-sedak terminum air laut yang masin itu. Namun kerana terlalu suka, mereka tidak kisah dan terus menyelam dan bermain air.
Selepas 2 jam saya menyuruh meraka naik keatas untuk bersihkan badan dan makan tengahari. Sambil makan saya bertanya, “Along suka mandi laut?”. “Suka, tapi Along rasa macam nak muntah terminum air laut”, jawabnya. “Kenapa nak muntah?”, saya tanya. “Semua orang rendam kaki dalam laut. Busuk!”, cemik Along. “Abis, kaki Along letak kat mana masa mandi tadi?”, saya tersenyum. Along kebingungan mendengar pertanyaan saya.
www.kembaraverden.blogspot.com
Thursday, May 1, 2008
Kos Asal
Buku akaun juga hanya merekodkan nilai duit yang telah digunakan atau juga di panggil kos asal. Sekiranya kos asal telah meningkat, kenaikan kos tersebut tidak direkodkan dalam buku akaun.
Sebagai contoh, kedai yang menjual beras akan merekodkan kos beras yang dibeli dari pengedar semasa stok beras itu dibeli. Sekiranya stok beras masih belum habis, tetapi harga pasaran beras telah meningkat, kos beras yang telah dibeli masih lagi sama seperti dahulu kerana stok beras tersebut dibeli sebelum harga beras naik. Ini memungkinkan peniaga tersebut mendapat keuntungan yang lebih kerana dia dapat menjual stok berasnya dengan harga yang lebih tinggi dari dirancang. Keuntungan ini yang kita selalu sebut untung atas angin atau untung pegangan.
Tetapi adakah benar kita katakan ini satu keuntungan? Apakah akan berlaku sekiranya harga pasaran menurun? Perkara ini agak rumit untuk dibincangkan. Namun perbincangan ini telah mewujudkan desakan untuk supaya buku akaun dibuat menggunakan kos pasaran bukan kos asal. Untuk perbincangan lanjut anda boleh membaca buku ini mengenai perakaunan inflasi.
Ada rekod akaun menggunakan harga pasaran sebagai kayu ukuran seperti stock dan pegangan pelaburan. Namun secara amnya kebanyakan transaksi akan direkodkan menggunakan ukuran kos asal dan tidak diubah walaupun kos asal telah berubah dipasaran.
B3Lima
Wednesday, April 30, 2008
Ukuran Duit
Berapakah nilai yang hendak kita berikan sekiranya kita pergi bercuti di Langkawi. Adakah nilai percutian itu sama dengan jumlah wang yang kita belanjakan? Adakah nilai percutian itu sama dengan jumlah keuntungan yang kita terlepas kerana tidak berniaga dan bercuti? Adakah nilainya sama dengan keuntungan yang kita perolehi bila berjumpa dengan pelanggan baru di tempat percutian? Atau nilai yang tak boleh dikira seperti kebahagian keluarga dan ketenangan jiwa semasa bercuti? Memang sukar untuk meletakkan nilai pada sesuatu perkara subjektif.
Didalam perakaunan setiap transaksi yang hendak direkodkan dalam buku akaun akan direkodkan mengikut ukuran duit. Ciri ini mungkin pada setengah pendapat membuatkan peniaga menjalankan perniagaan untuk mencari keuntungan sahaja. Objektif mencari keuntungan ini akan memudaratkan masyarakat sekiranya pengiraan duit yang dibuat tidak melihat seluruh aspek keuntungan terutama dari segi social. Salah satu buku yang menarik menerang bagaimana kuasa duit boleh mengubah sejarah adalah buku prize. Oleh sebab itu telah ada gesaaan dari pihak tertentu supaya tanggungjawab sosial perniagaan dimasukkan dalam laporan akaun tahunan.
Buat masa ini, ukuran duit masih digunakan untuk merekodkan setiap transaksi yang dijalankan perniagaan. Oleh itu didalam buku akaun, akauntan tidak dapat merekodkan berapakah nilai harga kemahiran pekerja-pekerja yang ada. Apa yang boleh direkodkan antaranya jumlah gaji yang dibayar pada perkerja-pekerja tersebut. Hanya perkara-perkara yang boleh diukur dengan nilai duit direkodkan dalam buku akaun.
B3Lima
Tuesday, April 29, 2008
Catatan Bergu
Dacing kayu adalah satu alat mudah untuk mengukur berat. Pengukuran berat melibatkan sebatang kayu yang ditandakan khas dan kayu itu di gantung pada tali ditengahnya. Satu hujung kayu tersebut digantung pemberat dan dihujung satu lagi digantung barang yang inging ditimbang. Untuk menimbang, kayu tersebut akan digerakkan kikiri dan kekanan sehingga ianya berada seimbang diatas tali yang memegangnya. Dalam keaadaan seimbang, bermakna berat barang sama berat dengan pemberat dihujung berlawanan kayu. Penanda khas dikayu akan menunjukkan apakah berat tersebut.
Dalam perakaunan keadaan seimbang ini adalah perlu. Ini dilakukan dengan menggunakan kaedah catatan bergu. Catatan bergu bermaksud setiap data akan direkodkan didua buku akaun disebelah yang berlawanan antara satu sama lain. Tempat berlawanan ini dipanggil debit (kanan) dan kredit (kiri). Ini bermakna setiap satu transaksi akan ada debit dan kredit dengan jumlah yang sama.
Pada masa tertentu kita boleh jumlahkan kesemua debit dan kredit dan akan dapati jumlah kesemua debit sama dengan jumlah kesemua kredit. Keadaan seimbang ini membantu akauntan menentukan dia telah merekodkan kesemua transaksi didalam akaun dengan betul.
Pada 1458 seorang paderi Farisian (satu kumpulan kristian di Italy) bernama Luca Pacioli menulis “Summa de Arithmetica Geometria Proportionalita” (Satu analisa Aritmetik, Geometri dan Pecahan). Didalam buku tersebut dia telah merekodkan cara-cara membuat catatan bergu yang dilakukan oleh peniaga Venice di Italy. Buku ini dianggap buku pertama menerangkan kaedah catatan bergu didalam perakaunan.
Banyak perkara yang berlaku didunia ini yang membawa kesan besar kepada kehidupan manusia. Buku black swan cukup menarik untuk dibaca mengenai ketidaktentuan perkara-perkara yang berlaku dalam dunia ini.
B3Lima
Monday, April 28, 2008
Darah Sudah Kering
Sangat menarik bila kita perhatikan tahap pembelajaran sekarang ini jika dibanding kan dengan dekad-dekad terdahulu. Anak-anak zaman sekarang telah mula mengikuti kelas formal dari umur 4 atau 5 tahun. Sampai umur untuk memasuki sekolah rendah, kebanyakan mereka telah boleh membaca dengan lancar dan mengira dengan baik.
Saya kurang pasti adakah ini sesuatu yang bagus tetapi apa yang saya lihat hampir semua ibubapa ingin melihat anak mereka lulus dengan cermelang dalam peperiksaan. Fokus yang terjurus kepada peperiksaan ini memaksa anak-anak mempelajari dan menghafal perkara-perkara yang mungkin mereka sendiri kurang memahami konsep sebenar apa yang dipelajari.
Di Johor, seiring dengan sekolah biasa, sekolah agama juga tidak kurang pentingnya. Teringat saya cerita anak saya pada suatu hari mengenai darah. Kami sekeluarga sedang menonton satu rancangan kartun Jepun yang dialihbahasa ke Bahasa. Sampai masanya, seperti kebiasaannya, azan akan berkumandang menandakan sampai waktu untuk solat. Jadi saya menyuruh anak saya menutup televisyen dan segera untuk bersolat.
Dengan nada agak serius anak saya berkata, ”Ustazah cakap kalau ada darah tidak boleh solat”. Jawapan yang cukup baik jika dalam peperiksaan. Saya tanya balik, ”Adik ada darah kat mana?”. ”Tadi hidung adik berdarah. Dulu ustazah ada cakap kalau keluar darah, darah dah kering baru boleh solat”, dengan nada selamba anak lelaki saya berumur 8 tahun ini menjawab.
www.kembaraverden.blogspot.com
Tuesday, April 22, 2008
Taksiran Cukai Kosong
Berdasarkan jumlah pelepasan cukai dan rebat yang ada sekarang, kita boleh mengira jumlah pendapatan maksima dimana seseorang itu tidak perlu membayar cukai pendapatan.
Taksiran berikut adalah untuk penggajian sahaja untuk suami/isteri yang tidak ada anak dan tidak ada pelepasan-pelepasan lain yang diperuntukkan selain pelepasan individu. Mengikut Taksiran ini, penggajian maksima pembayar 1 adalah RM26,760 setahun atau RM2,230 sebulan dan penggajian maksima pembayar 2 adalah RM11,640 setahun atau RM970 sebulan.
Anda boleh membuat pengiraan sendiri menggunakan kertaskira Excel diatas. Ubah penggajian isteri/suami dan jumlah anak bawah 18 tahun. Pelepasan-pelepasan lain perlu diambilkira untuk mendapatkan taksiran yang lebit tepat.
Jika anda berminat untuk mendapatkan kertaskira tersebut, anda boleh hantar email kepada saya isunik@gmail.com. Sila berikan nama sebenar dan pekerjaan anda untuk saya balas atau anda boleh muat turun kertaskira taksiran
Monday, April 21, 2008
Bersama lwn Berasingan
Cukai pendapatan untuk tahun 2007 perlu diisi dan dikembalikan kepada LHDN sebelum 30April 2008. Saya telah membuat satu pengiraan mudah didalam kertaskira Excel menggunakan banjaran peggajian bulanan antara RM500 sebulan hingga RM10,000 sebulan.
Saya cuba membuat perbandingan antara taksiran berasingan dengan taksiran bersama untuk taksiran suami/isteri. Saya fikir dalam banyak keadaan taksiran berasingan akan menghasilkan jumlah cukai yang lebih rendah jika dibandingkan dengan taksiran bersama. Data-data dibawah menunjukkan jumlah cukai tambahan jika taksiran bersama dibuat menggantikan taksiran berasingan.
Berdasarkan pengiraan saya diatas, hanya untuk banjaran gaji bulanan tertentu sahaja taksiran bersama menghasilkan cukai yang lebih rendah. Misalnya, jika penggajian pembayar 1 antara RM3,000 sebulan dan RM4,000 sebulan dan penggajian pembayar 2 pada RM500 sebulan, taksiran bersama akan menghasilkan cukai masing-masing RM186 lebih rendah dan RM63 lebih rendah jika dibandingkan dengan taksiran berasingan.
Untuk banjaran penggajian lain, taksiran bersama menghasilkan cukai yang lebih tinggi dari taksiran berasingan. Pengiraan diatas adalah untuk cukai dari penggajian sahaja untuk suami/isteri yang belum mempunyai anak dan hanya mendapat pelepasan individu.
Anda boleh membuat perbandingan sendiri. Saya ada membuat kertaskira Excel yang mudah untuk membuat perbandingan tersebut. Jika anda berminat untuk mendapatkan kertaskira tersebut, anda boleh hantar email kepada saya isunik@gmail.com. Sila berikan nama sebenar dan pekerjaan anda untuk saya balas atau anda boleh muat turun kertaskira taksiran
Saturday, April 19, 2008
Entiti Perniagaan
Filem "Matrix" yang dilayarkan beberapa tahun dahulu adalah salah satu filem “rekaan sains” yang amat saya minati. Walaupun persembahan yang dilakukan, terumatam semasa pelaku-pelakumya bertarung dan mengelak peluru, bukanlah sesuata yang asing bagi peminat filem-filem dari Hong-Kong, filem tersebut sangat menarik dari segi ide yang diketengahkan.
Filem tersebut berlaku disuatu zaman dimana realiti adalah bukan realiti, tetapi realiti adalah pancaran minda yang hidup terasing dari jasad. Dimana mesin mempunyai roh tersendiri yang hidup mengawal dunia. Saya ada terbaca bahawa ide asal filem ini diambil dari anime jepun bertajuk Ghost In The Shell.
Didalam perakaunan perniagaan juga adalah dianggap satu badan yang terasing dari pemiliknya. Ini membolehkan pemilik berhutang dengan perniagaan sendiri dan perniagaan berhutang dengan pemiliknya walaupun pemilik adalah pemilik tunggal yang memegang 100% kepintangan saham syarikat. Pengasingan ini juga gunapakai untuk perniagaan perseorangan.
Kadang-kadang pengasingan ini mungkin kurang jelas. Ianya bergantung pada jenis perniagaan yang dijalankan. Sekiranga kita berniaga pasarmini menjual barang basah misalnya, pembelian sayuran untuk dijual adalah kos perniagaan tetapi pembelian sayuran untuk kegunaan harian dirumah adalah kos peribadi.
Begitu juga, hasil jualan yang diterima adalah hasil jualan perniagaan dan milik perniagaan walaupun ianya mungkin bercampur dengan wang peribadi didalam dompet kita. Ada beberapa cara duit dari perniagaan boleh diberikan kepada pemilik dan ianya mestilah direkodkan dengan betul dalam buku akaun.
Pengasingan antara perniagaan dengan pemiliknya ini sangat penting supaya dapat dikenalpasti kedudukan kewangan perniagaan dengan betul.
Semua perniagaan, samada kecil atau besar, juga bermula dengan pelan niaga yang baik.
B3Lima
Thursday, April 17, 2008
Asas-Asas Perakaunan
Saya dibesarkan disebuah ladang getah yang tidak berapa jauh dari pekan kecil Rengam di tengah Johor. Pekan tersebut walaupun kecil adalah pekan yang penting bagi kawasan disekeliling kerana disitulah terletaknya sekolah-sekolah, bomba, klinik, majlis daerah dan sebagainya.
Saya masuk sekolah aliran melayu yang pada ketika itu masih menumpang disebuah sekolah aliran cina sehinggalah saya melangkah kedarjah 3 dimana sebuah bangunan baru telah siap dibina untuk sekolah tersebut. Setiap kali saya pulang kekampung, jalan utama pekan tersebut akan melalui hadapan sekolah lama saya ini dan setiap kali itu juga saya terkenang zaman persekolahan saya disitu.
Dari jauh akan ternampak tulisan-tulisan besar didinding sekolah. Seingat saya pada awalnya hanya rukun negara ditulis didinding tersebut. Tapi kini ianya telah diubah kepada rukun Islam dan rukun Iman. Walau apapun, rukun-rukun ini merupakan sempadan dan pandaun untuk seseorang itu melakukan perkara-perkara yang akan menghasilkan kenegaraan, kepercayaan atau pegangan hidup yang diinginkan.
Perkara ini juga berlaku didalam perakaunan. Ada asas-asas tertentu yang perlu digunapakai bilamana kerja-kerja perakaunan dibuat. Canggih manapun sistem simpanan yang digunakan, asas-asas perakaunan ini menjadi panduan untuk seseorang itu menghasilkan kerja-kerja perakaunan yang betul. Buku akaun sekiranya direkodkan dengan betul akan mengurangkan risiko dalam mengawal perniagaan. Anda juga boleh membeli buku 101 tips perniagaan ini untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diawasi dalam perniagaan.
Apakah asas-asas yang ada dalam kerja-kerja perakaunan?
B3Lima
Wednesday, April 16, 2008
Proses Perakaunan
Sekiranya kita ke sempadan Terengganu dan Pahang, berdekatan dengan Cherating, jangan lupa singgah di satu tempat dimana banyak hasil-hasil laut yang diproses dijual. Hasil-hasil laut tersebut saya kira diproses ditempat yang sama dan dibungkus dan dijual kepada pelawat-pelawat yang kebanyakannya datang dari luar Terengganu.
Walaupun hasil yang dijual agak sama dari satu kedai ke satu kedai yang lain, tetapi jika kita mempunyai citarasa yang sangat cerewet, mungkin kita dapat tentukan perbezaan rasa hasil-hasil laut dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Bagi yang sudah biasa dengan kedai tersebut, mungkin akan mengunjungi kedai yang sama setiap kali singgah untuk membeli keropok lekor, misalnya.
Sekiranya kita melihat pengeluaran keropok lekor, kita mungkin dapat lihat perkara-perkara berikut:
1) Resepi yang di tentukan oleh pengeluar
2) Mesin pengeluar yang di kawal oleh operator mesin
3) Hasil keluaran yang diterima oleh pembeli
Sekiranya hasil keluaran diterima pembeli, pembeli yang sama mungkin akan datang kembali atau mungkin pembeli tersebut akan mengesyorkan kedai itu kepada pembeli-pembeli lain. Ini akan menambahkan lagi jualan kedai tersebut. Langkah terakhir ini boleh kita tuliskan sebagai:
4) Pengeluar mengetahui citarasa pembeli.
Perkara yang kita boleh ubah dalam langkah diatas adalah resepi keropok lekor kita supaya memenuhi citarasa pembeli. Mesin pengeluar mungkin serupa atau diubah, tetapi ianya tidak mengganggu resepi yang dibuat dan hasil yang keluar.
Analogi ini boleh kita samakan dengan proses perakaunan. Akauntan akan memasukkan data-data yang perlu didalam rekod dan data-data tersebut adalah data-data yang diperlukan oleh pengguan akaun. Sistem simpanan yang digunakan mungkin berbeza-beza mengikut kemampuan peniaga dan saiz perniagaan, tetapi data-data yang disimpan akan tetap sama. Sistem simpanan mungkin buku-buku akaun yang ditulis dengan tangan, atau rekod-rekod komputer yang disimpan didalam simpanan elektronik. Namun tujuan dan jenis data yang disimpan tetap sama bergantung kepada kehendak pengguna akaun.
Oleh itu mengikuti proses sama seperti diatas, kita boleh katakan proses-proses perakaunan adalah seperti berikut:
a) Data-data yang direkodkan oleh juru akaun.
b) Sistem simpanan akaun yang digunakan
c) Penyata akaun
d) Timbalbalas pengguna mengenai data-data yang diperlukan
Persoalannya banyak data boleh diperolehi dari setiap apa yang berlaku dan ada banyak cara kita boleh melaporkannya untuk mendapatkan apa yang diperlukan. Adakah ada satu cara yang betul?
Tuesday, April 15, 2008
Tujuan Perakaunan
Pernahkan anda membawa buku tiga lima anda ke pasaraya Mydin? Mungkin anda bertanya apa itu buku tiga lima? Sekiranya ada boleh kah buku tersebut digunakan di pasaraya tersebut?
Saya masih ingat buku tiga lima. Bersaiz kecil, nipis dan depenuhi dengan tulisan yang saya tidak fahami didalamnya. Ada tulisan logo (555) di kulit depan buku kecil ini. Nama buku tiga lima diambil sempena logo tiga nombor lima tersebut. Saya fikir, kalau kita buat satu penjanamaan baru sekalipun seperti buku kepala harimau misalnya, masih tidak mampu untuk menandingi kekuatan jenama buku tiga lima. Sebut saja buku tiga lima, perkara yang pertama terpampang di fikiran adalah buku hutang.
Kalaulah buku tiga lima masih boleh digunakan di pasaraya-pasaraya mega yang ada sekarang ini, kemungkinan bentuknya lebih canggih dan ranggi sesuai dengan zaman teknologi sekarang ini. Namun peranan buku tiga lima sudah lama diambil alih oleh sekeping kad kredit, yang terlalu mudah untuk diperolehi sekarang ini.
Seperti mana kad kredit, buku tiga lima digunakan sebagai rekod hutang pembelian. Kos buku tidak mahal dan mudah diselenggarakan. Kaedah ini digunalan secara meluas oleh peniaga runcit untuk merekodkan hutang yang diberi kepada pelanggan. Setiap pelanggan akan mempunyai buku tiga lima yang akan disimpan oleh pelanggan dan apa bila barang-barang dibeli di kedai, tiada pembayaran akan dibuat pada masa tersebut. Jumlah yang tidak dibayar akan direkodkan di dalam buku tiga lima.
Kaedah ini memudahkan pelanggan untuk mendapatkan barang-barang keperluan dapur secara cepat walaupun jumlah tunai yang dipegang dalam tangan tidak mencukupi. Pembayaran hutang-hutang tersebut akan dibuat pada akhir bulan dan jumlah pembayaran akhir bulan akan direkodkan di dalam buku yang sama. Oleh itu, baki tertunggak di dalam buku tiga lima tersebut merupakan jumlah hutang yang masih belum di bayar oleh pelanggan.
Buku tiga lima adalah salah satu cara mudah untuk merekodkan sebahagian data-data penting perniagaan. Data-data yang ada dalam buku tersebut memenuhi keperluan yang ada. Data-data tersebut juga boleh digunakan oleh pekedai dan pembeli untuk mengetahui berapa jumlah barang yang dibeli, berapa pembayaran yang dibuat, berapa jumlah hutang yang tertunggak dan berapa banyak pembelian baru yang mungkin akan dibuat berdasarkan rekod-rekod pembelian lepas.
Oleh itu boleh kita katakan secara amnya, buku akaun adalah satu laporan data yang berguna mengenai kedudukan kewangan seseorang peniaga. Laporan data tersebut akan menyatakan:
1) Jumlah kewangan yang masih dimiliki sekarang.
2) Jumlah kewangan yang pernah dimiliki sebelum ini.
3) Perubahan dalam jumlah kewangan.
4) Jumlah kewangan yang mungkin diperolehi akan datang.
Bagaimana kita menentukan data-data yang dilaporkan adalah berguna untuk perniagaan kita?
Monday, April 14, 2008
Pengenalan Perakaunan
Saya rasa amat tertarik dengan imej dan konsep yang dibawa oleh Stesen Minyak Petronas akhir-akhir ini. Nampaknya Petronas berjaya membawa konsep “satu perhentian” untuk stesen-stesen minyak yang baru dibuka. Saya nampak konsep ini mula dibawa oleh Stesen Minyak Projet, tetapi nampaknya syarikat tersebut gagal melaksanakannya dan terus berundur dari Malaysia. Saya nampak, syarikat-syarikat lain cuba mengikut konsep yang dibawa olej Projet, namun yang lebih menonjol adalah Stesen Minyak Petronas.
Mungkin saya silap, tapi itu dari pemerhatian saya. Secara peribadi, saya akan terfikir Petronas bila memikirkan tempat untuk makan atau mencari mesin “ATM”. Sudah semestinya bila kita berkunjung ketempat tersebut, kita akan membeli barang-barang lain yang ada dijual disitu. Kemungkinan barang makanan kunyahan, seperti kacang kuning atau kacang parang dan sebagainya.
Kalau kita perhatikan konsep jualan yang serupa ada di pasaraya-pasaraya besar. Kalau kita berangan-angan hanya untuk membeli telur di pasaraya, bersedialah untuk membawa wang yang cukup untuk membayar barangan sebakul kereta sorong. Kita akan tertarik untuk membeli barang-barang lain yang ada dijual dipasaraya tersebut. Pembelian yang tak dirancang ini sudah menjadi tabiat kita yang memang menguntungkan pasaraya di Malaysia.
Namun bagi sesetengah orang, walaupun pembelian tersebut tidak dirancang, dia dapat menganggarkan jumlah tunai yang ada ditangan untuk membayar barangan tersebut. Sekiranya dia menggunakan kad kredit, dia juga dapat menganggarkan jumlah yang mampu dia bayar secara kredit berdasarkan jumlah wang akan diterima akhir bulan. Ini satu kaedah yang agak mudah sekiranya perbelanjaan kita tidak banyak dan hasil yang diterima juga hanya dari satu punca mungkin, iaitu gaji bekerja.
Tapi sekiranya kita membuka kedai dan berniaga secara kecil-kecilan, patutkah kita menggunakan kaedah yang sama, sama seperti kita membeli barang samada di stesen minyak atau dipasaraya. Saya kira mungkin boleh, tetapi kita perlu tahu berapa banyak wang yang kita ada pada waktu tertentu sebelum kita berbelanja. Kita juga mungkin ingin tahu berapa banyak hasil yang akan kita terima pada hari-hari akan datang. Perkara-perkara ini dan beberapa perkara lain, amat penting untuk satu-satu perniagaan untuk berdaya maju.
Bagaimana harus kita buat untuk merekodkan data-data perniagaan kita? Apakah prinsip-prinsip asas disebalik cara-cara yang ada?
Undergoing MyBlogLog Verification