Wednesday, April 16, 2008

Proses Perakaunan

Sekiranya kita ke sempadan Terengganu dan Pahang, berdekatan dengan Cherating, jangan lupa singgah di satu tempat dimana banyak hasil-hasil laut yang diproses dijual. Hasil-hasil laut tersebut saya kira diproses ditempat yang sama dan dibungkus dan dijual kepada pelawat-pelawat yang kebanyakannya datang dari luar Terengganu.

Walaupun hasil yang dijual agak sama dari satu kedai ke satu kedai yang lain, tetapi jika kita mempunyai citarasa yang sangat cerewet, mungkin kita dapat tentukan perbezaan rasa hasil-hasil laut dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Bagi yang sudah biasa dengan kedai tersebut, mungkin akan mengunjungi kedai yang sama setiap kali singgah untuk membeli keropok lekor, misalnya.

Sekiranya kita melihat pengeluaran keropok lekor, kita mungkin dapat lihat perkara-perkara berikut:
1) Resepi yang di tentukan oleh pengeluar
2) Mesin pengeluar yang di kawal oleh operator mesin
3) Hasil keluaran yang diterima oleh pembeli

Sekiranya hasil keluaran diterima pembeli, pembeli yang sama mungkin akan datang kembali atau mungkin pembeli tersebut akan mengesyorkan kedai itu kepada pembeli-pembeli lain. Ini akan menambahkan lagi jualan kedai tersebut. Langkah terakhir ini boleh kita tuliskan sebagai:
4) Pengeluar mengetahui citarasa pembeli.

Perkara yang kita boleh ubah dalam langkah diatas adalah resepi keropok lekor kita supaya memenuhi citarasa pembeli. Mesin pengeluar mungkin serupa atau diubah, tetapi ianya tidak mengganggu resepi yang dibuat dan hasil yang keluar.

Analogi ini boleh kita samakan dengan proses perakaunan. Akauntan akan memasukkan data-data yang perlu didalam rekod dan data-data tersebut adalah data-data yang diperlukan oleh pengguan akaun. Sistem simpanan yang digunakan mungkin berbeza-beza mengikut kemampuan peniaga dan saiz perniagaan, tetapi data-data yang disimpan akan tetap sama. Sistem simpanan mungkin buku-buku akaun yang ditulis dengan tangan, atau rekod-rekod komputer yang disimpan didalam simpanan elektronik. Namun tujuan dan jenis data yang disimpan tetap sama bergantung kepada kehendak pengguna akaun.

Oleh itu mengikuti proses sama seperti diatas, kita boleh katakan proses-proses perakaunan adalah seperti berikut:
a) Data-data yang direkodkan oleh juru akaun.
b) Sistem simpanan akaun yang digunakan
c) Penyata akaun
d) Timbalbalas pengguna mengenai data-data yang diperlukan

Persoalannya banyak data boleh diperolehi dari setiap apa yang berlaku dan ada banyak cara kita boleh melaporkannya untuk mendapatkan apa yang diperlukan. Adakah ada satu cara yang betul?

No comments: