Wednesday, April 30, 2008

Ukuran Duit

Berapakah nilai yang hendak kita berikan sekiranya kita pergi bercuti di Langkawi. Adakah nilai percutian itu sama dengan jumlah wang yang kita belanjakan? Adakah nilai percutian itu sama dengan jumlah keuntungan yang kita terlepas kerana tidak berniaga dan bercuti? Adakah nilainya sama dengan keuntungan yang kita perolehi bila berjumpa dengan pelanggan baru di tempat percutian? Atau nilai yang tak boleh dikira seperti kebahagian keluarga dan ketenangan jiwa semasa bercuti? Memang sukar untuk meletakkan nilai pada sesuatu perkara subjektif.

Didalam perakaunan setiap transaksi yang hendak direkodkan dalam buku akaun akan direkodkan mengikut ukuran duit. Ciri ini mungkin pada setengah pendapat membuatkan peniaga menjalankan perniagaan untuk mencari keuntungan sahaja. Objektif mencari keuntungan ini akan memudaratkan masyarakat sekiranya pengiraan duit yang dibuat tidak melihat seluruh aspek keuntungan terutama dari segi social. Salah satu buku yang menarik menerang bagaimana kuasa duit boleh mengubah sejarah adalah buku prize. Oleh sebab itu telah ada gesaaan dari pihak tertentu supaya tanggungjawab sosial perniagaan dimasukkan dalam laporan akaun tahunan.

Buat masa ini, ukuran duit masih digunakan untuk merekodkan setiap transaksi yang dijalankan perniagaan. Oleh itu didalam buku akaun, akauntan tidak dapat merekodkan berapakah nilai harga kemahiran pekerja-pekerja yang ada. Apa yang boleh direkodkan antaranya jumlah gaji yang dibayar pada perkerja-pekerja tersebut. Hanya perkara-perkara yang boleh diukur dengan nilai duit direkodkan dalam buku akaun.

B3Lima

Tuesday, April 29, 2008

Catatan Bergu

Dacing kayu adalah satu alat mudah untuk mengukur berat. Pengukuran berat melibatkan sebatang kayu yang ditandakan khas dan kayu itu di gantung pada tali ditengahnya. Satu hujung kayu tersebut digantung pemberat dan dihujung satu lagi digantung barang yang inging ditimbang. Untuk menimbang, kayu tersebut akan digerakkan kikiri dan kekanan sehingga ianya berada seimbang diatas tali yang memegangnya. Dalam keaadaan seimbang, bermakna berat barang sama berat dengan pemberat dihujung berlawanan kayu. Penanda khas dikayu akan menunjukkan apakah berat tersebut.

Dalam perakaunan keadaan seimbang ini adalah perlu. Ini dilakukan dengan menggunakan kaedah catatan bergu. Catatan bergu bermaksud setiap data akan direkodkan didua buku akaun disebelah yang berlawanan antara satu sama lain. Tempat berlawanan ini dipanggil debit (kanan) dan kredit (kiri). Ini bermakna setiap satu transaksi akan ada debit dan kredit dengan jumlah yang sama.

Pada masa tertentu kita boleh jumlahkan kesemua debit dan kredit dan akan dapati jumlah kesemua debit sama dengan jumlah kesemua kredit. Keadaan seimbang ini membantu akauntan menentukan dia telah merekodkan kesemua transaksi didalam akaun dengan betul.

Pada 1458 seorang paderi Farisian (satu kumpulan kristian di Italy) bernama Luca Pacioli menulis “Summa de Arithmetica Geometria Proportionalita” (Satu analisa Aritmetik, Geometri dan Pecahan). Didalam buku tersebut dia telah merekodkan cara-cara membuat catatan bergu yang dilakukan oleh peniaga Venice di Italy. Buku ini dianggap buku pertama menerangkan kaedah catatan bergu didalam perakaunan.

Banyak perkara yang berlaku didunia ini yang membawa kesan besar kepada kehidupan manusia. Buku black swan cukup menarik untuk dibaca mengenai ketidaktentuan perkara-perkara yang berlaku dalam dunia ini.

B3Lima

Monday, April 28, 2008

Darah Sudah Kering

Sangat menarik bila kita perhatikan tahap pembelajaran sekarang ini jika dibanding kan dengan dekad-dekad terdahulu. Anak-anak zaman sekarang telah mula mengikuti kelas formal dari umur 4 atau 5 tahun. Sampai umur untuk memasuki sekolah rendah, kebanyakan mereka telah boleh membaca dengan lancar dan mengira dengan baik.

Saya kurang pasti adakah ini sesuatu yang bagus tetapi apa yang saya lihat hampir semua ibubapa ingin melihat anak mereka lulus dengan cermelang dalam peperiksaan. Fokus yang terjurus kepada peperiksaan ini memaksa anak-anak mempelajari dan menghafal perkara-perkara yang mungkin mereka sendiri kurang memahami konsep sebenar apa yang dipelajari.

Di Johor, seiring dengan sekolah biasa, sekolah agama juga tidak kurang pentingnya. Teringat saya cerita anak saya pada suatu hari mengenai darah. Kami sekeluarga sedang menonton satu rancangan kartun Jepun yang dialihbahasa ke Bahasa. Sampai masanya, seperti kebiasaannya, azan akan berkumandang menandakan sampai waktu untuk solat. Jadi saya menyuruh anak saya menutup televisyen dan segera untuk bersolat.

Dengan nada agak serius anak saya berkata, ”Ustazah cakap kalau ada darah tidak boleh solat”. Jawapan yang cukup baik jika dalam peperiksaan. Saya tanya balik, ”Adik ada darah kat mana?”. ”Tadi hidung adik berdarah. Dulu ustazah ada cakap kalau keluar darah, darah dah kering baru boleh solat”, dengan nada selamba anak lelaki saya berumur 8 tahun ini menjawab.

www.kembaraverden.blogspot.com

Tuesday, April 22, 2008

Taksiran Cukai Kosong

Berdasarkan jumlah pelepasan cukai dan rebat yang ada sekarang, kita boleh mengira jumlah pendapatan maksima dimana seseorang itu tidak perlu membayar cukai pendapatan.

Taksiran berikut adalah untuk penggajian sahaja untuk suami/isteri yang tidak ada anak dan tidak ada pelepasan-pelepasan lain yang diperuntukkan selain pelepasan individu. Mengikut Taksiran ini, penggajian maksima pembayar 1 adalah RM26,760 setahun atau RM2,230 sebulan dan penggajian maksima pembayar 2 adalah RM11,640 setahun atau RM970 sebulan.



Anda boleh membuat pengiraan sendiri menggunakan kertaskira Excel diatas. Ubah penggajian isteri/suami dan jumlah anak bawah 18 tahun. Pelepasan-pelepasan lain perlu diambilkira untuk mendapatkan taksiran yang lebit tepat.

Jika anda berminat untuk mendapatkan kertaskira tersebut, anda boleh hantar email kepada saya isunik@gmail.com. Sila berikan nama sebenar dan pekerjaan anda untuk saya balas atau anda boleh muat turun kertaskira taksiran

Monday, April 21, 2008

Bersama lwn Berasingan

Cukai pendapatan untuk tahun 2007 perlu diisi dan dikembalikan kepada LHDN sebelum 30April 2008. Saya telah membuat satu pengiraan mudah didalam kertaskira Excel menggunakan banjaran peggajian bulanan antara RM500 sebulan hingga RM10,000 sebulan.

Saya cuba membuat perbandingan antara taksiran berasingan dengan taksiran bersama untuk taksiran suami/isteri. Saya fikir dalam banyak keadaan taksiran berasingan akan menghasilkan jumlah cukai yang lebih rendah jika dibandingkan dengan taksiran bersama. Data-data dibawah menunjukkan jumlah cukai tambahan jika taksiran bersama dibuat menggantikan taksiran berasingan.



Berdasarkan pengiraan saya diatas, hanya untuk banjaran gaji bulanan tertentu sahaja taksiran bersama menghasilkan cukai yang lebih rendah. Misalnya, jika penggajian pembayar 1 antara RM3,000 sebulan dan RM4,000 sebulan dan penggajian pembayar 2 pada RM500 sebulan, taksiran bersama akan menghasilkan cukai masing-masing RM186 lebih rendah dan RM63 lebih rendah jika dibandingkan dengan taksiran berasingan.

Untuk banjaran penggajian lain, taksiran bersama menghasilkan cukai yang lebih tinggi dari taksiran berasingan. Pengiraan diatas adalah untuk cukai dari penggajian sahaja untuk suami/isteri yang belum mempunyai anak dan hanya mendapat pelepasan individu.

Anda boleh membuat perbandingan sendiri. Saya ada membuat kertaskira Excel yang mudah untuk membuat perbandingan tersebut. Jika anda berminat untuk mendapatkan kertaskira tersebut, anda boleh hantar email kepada saya isunik@gmail.com. Sila berikan nama sebenar dan pekerjaan anda untuk saya balas atau anda boleh muat turun kertaskira taksiran

Saturday, April 19, 2008

Entiti Perniagaan

Filem "Matrix" yang dilayarkan beberapa tahun dahulu adalah salah satu filem “rekaan sains” yang amat saya minati. Walaupun persembahan yang dilakukan, terumatam semasa pelaku-pelakumya bertarung dan mengelak peluru, bukanlah sesuata yang asing bagi peminat filem-filem dari Hong-Kong, filem tersebut sangat menarik dari segi ide yang diketengahkan.

Filem tersebut berlaku disuatu zaman dimana realiti adalah bukan realiti, tetapi realiti adalah pancaran minda yang hidup terasing dari jasad. Dimana mesin mempunyai roh tersendiri yang hidup mengawal dunia. Saya ada terbaca bahawa ide asal filem ini diambil dari anime jepun bertajuk Ghost In The Shell.

Didalam perakaunan perniagaan juga adalah dianggap satu badan yang terasing dari pemiliknya. Ini membolehkan pemilik berhutang dengan perniagaan sendiri dan perniagaan berhutang dengan pemiliknya walaupun pemilik adalah pemilik tunggal yang memegang 100% kepintangan saham syarikat. Pengasingan ini juga gunapakai untuk perniagaan perseorangan.

Kadang-kadang pengasingan ini mungkin kurang jelas. Ianya bergantung pada jenis perniagaan yang dijalankan. Sekiranga kita berniaga pasarmini menjual barang basah misalnya, pembelian sayuran untuk dijual adalah kos perniagaan tetapi pembelian sayuran untuk kegunaan harian dirumah adalah kos peribadi.

Begitu juga, hasil jualan yang diterima adalah hasil jualan perniagaan dan milik perniagaan walaupun ianya mungkin bercampur dengan wang peribadi didalam dompet kita. Ada beberapa cara duit dari perniagaan boleh diberikan kepada pemilik dan ianya mestilah direkodkan dengan betul dalam buku akaun.

Pengasingan antara perniagaan dengan pemiliknya ini sangat penting supaya dapat dikenalpasti kedudukan kewangan perniagaan dengan betul.

Semua perniagaan, samada kecil atau besar, juga bermula dengan pelan niaga yang baik.

B3Lima

Thursday, April 17, 2008

Asas-Asas Perakaunan

Saya dibesarkan disebuah ladang getah yang tidak berapa jauh dari pekan kecil Rengam di tengah Johor. Pekan tersebut walaupun kecil adalah pekan yang penting bagi kawasan disekeliling kerana disitulah terletaknya sekolah-sekolah, bomba, klinik, majlis daerah dan sebagainya.

Saya masuk sekolah aliran melayu yang pada ketika itu masih menumpang disebuah sekolah aliran cina sehinggalah saya melangkah kedarjah 3 dimana sebuah bangunan baru telah siap dibina untuk sekolah tersebut. Setiap kali saya pulang kekampung, jalan utama pekan tersebut akan melalui hadapan sekolah lama saya ini dan setiap kali itu juga saya terkenang zaman persekolahan saya disitu.

Dari jauh akan ternampak tulisan-tulisan besar didinding sekolah. Seingat saya pada awalnya hanya rukun negara ditulis didinding tersebut. Tapi kini ianya telah diubah kepada rukun Islam dan rukun Iman. Walau apapun, rukun-rukun ini merupakan sempadan dan pandaun untuk seseorang itu melakukan perkara-perkara yang akan menghasilkan kenegaraan, kepercayaan atau pegangan hidup yang diinginkan.

Perkara ini juga berlaku didalam perakaunan. Ada asas-asas tertentu yang perlu digunapakai bilamana kerja-kerja perakaunan dibuat. Canggih manapun sistem simpanan yang digunakan, asas-asas perakaunan ini menjadi panduan untuk seseorang itu menghasilkan kerja-kerja perakaunan yang betul. Buku akaun sekiranya direkodkan dengan betul akan mengurangkan risiko dalam mengawal perniagaan. Anda juga boleh membeli buku 101 tips perniagaan ini untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diawasi dalam perniagaan.

Apakah asas-asas yang ada dalam kerja-kerja perakaunan?

B3Lima

Wednesday, April 16, 2008

Proses Perakaunan

Sekiranya kita ke sempadan Terengganu dan Pahang, berdekatan dengan Cherating, jangan lupa singgah di satu tempat dimana banyak hasil-hasil laut yang diproses dijual. Hasil-hasil laut tersebut saya kira diproses ditempat yang sama dan dibungkus dan dijual kepada pelawat-pelawat yang kebanyakannya datang dari luar Terengganu.

Walaupun hasil yang dijual agak sama dari satu kedai ke satu kedai yang lain, tetapi jika kita mempunyai citarasa yang sangat cerewet, mungkin kita dapat tentukan perbezaan rasa hasil-hasil laut dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Bagi yang sudah biasa dengan kedai tersebut, mungkin akan mengunjungi kedai yang sama setiap kali singgah untuk membeli keropok lekor, misalnya.

Sekiranya kita melihat pengeluaran keropok lekor, kita mungkin dapat lihat perkara-perkara berikut:
1) Resepi yang di tentukan oleh pengeluar
2) Mesin pengeluar yang di kawal oleh operator mesin
3) Hasil keluaran yang diterima oleh pembeli

Sekiranya hasil keluaran diterima pembeli, pembeli yang sama mungkin akan datang kembali atau mungkin pembeli tersebut akan mengesyorkan kedai itu kepada pembeli-pembeli lain. Ini akan menambahkan lagi jualan kedai tersebut. Langkah terakhir ini boleh kita tuliskan sebagai:
4) Pengeluar mengetahui citarasa pembeli.

Perkara yang kita boleh ubah dalam langkah diatas adalah resepi keropok lekor kita supaya memenuhi citarasa pembeli. Mesin pengeluar mungkin serupa atau diubah, tetapi ianya tidak mengganggu resepi yang dibuat dan hasil yang keluar.

Analogi ini boleh kita samakan dengan proses perakaunan. Akauntan akan memasukkan data-data yang perlu didalam rekod dan data-data tersebut adalah data-data yang diperlukan oleh pengguan akaun. Sistem simpanan yang digunakan mungkin berbeza-beza mengikut kemampuan peniaga dan saiz perniagaan, tetapi data-data yang disimpan akan tetap sama. Sistem simpanan mungkin buku-buku akaun yang ditulis dengan tangan, atau rekod-rekod komputer yang disimpan didalam simpanan elektronik. Namun tujuan dan jenis data yang disimpan tetap sama bergantung kepada kehendak pengguna akaun.

Oleh itu mengikuti proses sama seperti diatas, kita boleh katakan proses-proses perakaunan adalah seperti berikut:
a) Data-data yang direkodkan oleh juru akaun.
b) Sistem simpanan akaun yang digunakan
c) Penyata akaun
d) Timbalbalas pengguna mengenai data-data yang diperlukan

Persoalannya banyak data boleh diperolehi dari setiap apa yang berlaku dan ada banyak cara kita boleh melaporkannya untuk mendapatkan apa yang diperlukan. Adakah ada satu cara yang betul?

Tuesday, April 15, 2008

Tujuan Perakaunan

Pernahkan anda membawa buku tiga lima anda ke pasaraya Mydin? Mungkin anda bertanya apa itu buku tiga lima? Sekiranya ada boleh kah buku tersebut digunakan di pasaraya tersebut?

Saya masih ingat buku tiga lima. Bersaiz kecil, nipis dan depenuhi dengan tulisan yang saya tidak fahami didalamnya. Ada tulisan logo (555) di kulit depan buku kecil ini. Nama buku tiga lima diambil sempena logo tiga nombor lima tersebut. Saya fikir, kalau kita buat satu penjanamaan baru sekalipun seperti buku kepala harimau misalnya, masih tidak mampu untuk menandingi kekuatan jenama buku tiga lima. Sebut saja buku tiga lima, perkara yang pertama terpampang di fikiran adalah buku hutang.

Kalaulah buku tiga lima masih boleh digunakan di pasaraya-pasaraya mega yang ada sekarang ini, kemungkinan bentuknya lebih canggih dan ranggi sesuai dengan zaman teknologi sekarang ini. Namun peranan buku tiga lima sudah lama diambil alih oleh sekeping kad kredit, yang terlalu mudah untuk diperolehi sekarang ini.

Seperti mana kad kredit, buku tiga lima digunakan sebagai rekod hutang pembelian. Kos buku tidak mahal dan mudah diselenggarakan. Kaedah ini digunalan secara meluas oleh peniaga runcit untuk merekodkan hutang yang diberi kepada pelanggan. Setiap pelanggan akan mempunyai buku tiga lima yang akan disimpan oleh pelanggan dan apa bila barang-barang dibeli di kedai, tiada pembayaran akan dibuat pada masa tersebut. Jumlah yang tidak dibayar akan direkodkan di dalam buku tiga lima.

Kaedah ini memudahkan pelanggan untuk mendapatkan barang-barang keperluan dapur secara cepat walaupun jumlah tunai yang dipegang dalam tangan tidak mencukupi. Pembayaran hutang-hutang tersebut akan dibuat pada akhir bulan dan jumlah pembayaran akhir bulan akan direkodkan di dalam buku yang sama. Oleh itu, baki tertunggak di dalam buku tiga lima tersebut merupakan jumlah hutang yang masih belum di bayar oleh pelanggan.

Buku tiga lima adalah salah satu cara mudah untuk merekodkan sebahagian data-data penting perniagaan. Data-data yang ada dalam buku tersebut memenuhi keperluan yang ada. Data-data tersebut juga boleh digunakan oleh pekedai dan pembeli untuk mengetahui berapa jumlah barang yang dibeli, berapa pembayaran yang dibuat, berapa jumlah hutang yang tertunggak dan berapa banyak pembelian baru yang mungkin akan dibuat berdasarkan rekod-rekod pembelian lepas.

Oleh itu boleh kita katakan secara amnya, buku akaun adalah satu laporan data yang berguna mengenai kedudukan kewangan seseorang peniaga. Laporan data tersebut akan menyatakan:
1) Jumlah kewangan yang masih dimiliki sekarang.
2) Jumlah kewangan yang pernah dimiliki sebelum ini.
3) Perubahan dalam jumlah kewangan.
4) Jumlah kewangan yang mungkin diperolehi akan datang.

Bagaimana kita menentukan data-data yang dilaporkan adalah berguna untuk perniagaan kita?

Monday, April 14, 2008

Pengenalan Perakaunan

Saya rasa amat tertarik dengan imej dan konsep yang dibawa oleh Stesen Minyak Petronas akhir-akhir ini. Nampaknya Petronas berjaya membawa konsep “satu perhentian” untuk stesen-stesen minyak yang baru dibuka. Saya nampak konsep ini mula dibawa oleh Stesen Minyak Projet, tetapi nampaknya syarikat tersebut gagal melaksanakannya dan terus berundur dari Malaysia. Saya nampak, syarikat-syarikat lain cuba mengikut konsep yang dibawa olej Projet, namun yang lebih menonjol adalah Stesen Minyak Petronas.

Mungkin saya silap, tapi itu dari pemerhatian saya. Secara peribadi, saya akan terfikir Petronas bila memikirkan tempat untuk makan atau mencari mesin “ATM”. Sudah semestinya bila kita berkunjung ketempat tersebut, kita akan membeli barang-barang lain yang ada dijual disitu. Kemungkinan barang makanan kunyahan, seperti kacang kuning atau kacang parang dan sebagainya.

Kalau kita perhatikan konsep jualan yang serupa ada di pasaraya-pasaraya besar. Kalau kita berangan-angan hanya untuk membeli telur di pasaraya, bersedialah untuk membawa wang yang cukup untuk membayar barangan sebakul kereta sorong. Kita akan tertarik untuk membeli barang-barang lain yang ada dijual dipasaraya tersebut. Pembelian yang tak dirancang ini sudah menjadi tabiat kita yang memang menguntungkan pasaraya di Malaysia.

Namun bagi sesetengah orang, walaupun pembelian tersebut tidak dirancang, dia dapat menganggarkan jumlah tunai yang ada ditangan untuk membayar barangan tersebut. Sekiranya dia menggunakan kad kredit, dia juga dapat menganggarkan jumlah yang mampu dia bayar secara kredit berdasarkan jumlah wang akan diterima akhir bulan. Ini satu kaedah yang agak mudah sekiranya perbelanjaan kita tidak banyak dan hasil yang diterima juga hanya dari satu punca mungkin, iaitu gaji bekerja.

Tapi sekiranya kita membuka kedai dan berniaga secara kecil-kecilan, patutkah kita menggunakan kaedah yang sama, sama seperti kita membeli barang samada di stesen minyak atau dipasaraya. Saya kira mungkin boleh, tetapi kita perlu tahu berapa banyak wang yang kita ada pada waktu tertentu sebelum kita berbelanja. Kita juga mungkin ingin tahu berapa banyak hasil yang akan kita terima pada hari-hari akan datang. Perkara-perkara ini dan beberapa perkara lain, amat penting untuk satu-satu perniagaan untuk berdaya maju.

Bagaimana harus kita buat untuk merekodkan data-data perniagaan kita? Apakah prinsip-prinsip asas disebalik cara-cara yang ada?

Undergoing MyBlogLog Verification